Halaman

Jumaat, 10 Disember 2021

Kempen jadikan Najib PM10 kini disekat – Kit Siang

MALAYSIA POST

Kempen jadikan Najib PM10 kini disekat – Kit Siang

KEPUTUSAN Mahkamah Rayuan terhadap rayuan sabitan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, semalam mampu menyekat kempen untuk menjadikan beliau sebagai Perdana Menteri sekali lagi, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, berkata keputusan itu menguatkan harapan yang negara masih mampu membuang kleptokrasi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat yang bertaraf dunia sebelum tahun 2057.

Menurutnya, negara mampu kembali hebat dengan konsep ‘Utamakan Malaysia’, dan bukannya konsep ‘Keluarga Malaysia’ diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Terdapat hembusan nafas lega di seluruh negara apabila mendapat tahu yang Mahkamah Rayuan telah sebulat suara menolak rayuan Najib, ke atas sabitan kesalahan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atas tuduhan berkenaan dana RM42 SRC International Sdn Bhd.

“Tetapi, kita perlu sentiasa sedar, ada sesetengah rakyat Malaysia yang terus menerus mahu melihat sabitan Najib ini dibatalkan, supaya suatu kempen besar-besaran untuk Najib menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dapat dilancarkan.

“Pelbagai persediaan dibuat untuk kempen penipuan, fitnah, dan berita palsu ini di media sosial, termasuklah pembelian personaliti media sosial dan media cetak untuk melancarkan kempen momokan terhadap ‘lawan’ Najib,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kini kempen untuk menjadikan Najib Perdana Menteri ke-10 telah disekat, tetapi masih akan ada usaha untuk menghidupkannya.

“Kebetulan pula, semalam (kelmarin) adalah hari ke-100 Kabinet Ismail Sabri, walaupun hari ke-100 Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri telah berlalu awal lagi pada 29 November 2021.

“Sekiranya saya diminta untuk memberikan markah untuk 100 Hari Pertama Kabinet Ismail Sabri ini, saya akan berikan markah gagal, walaupun kerajaan ini tidaklah gagal seteruk ‘kerajaan gagal’ Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini,” katanya.

Kit Siang berpendapat keputusan Mahkamah Rayuan itu memulihkan kepercayaan rakyat bukan sahaja terhadap kedaulatan undang-undang dan kebebasan sistem kehakiman, tetapi juga mengembalikan harapan bahawa kita masih mampu untuk membuang kleptokrasi dan melawan rasuah dengan jayanya di Malaysia.

“Tetapi, perkara ini perlulah dicapai dengan gerakan rakyat untuk ‘Utamakan Malaysia’ dan bukannya konsep ‘Keluarga Malaysia’ Ismail Sabri.

“Keputusan Mahkamah Rayuan ini memberikan harapan untuk negara menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia sama ada dari segi daya saing antarabangsa, tadbir urus yang baik, atau kerajaan yang berkesan dan efektif sebelum ulang tahun ke-100 negara pada tahun 2057

“Untuk kita semua keluar dari trajektori kegagalan, ini bukanlah satu impian atau visi yang mustahil untuk dicapai,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.