Halaman

Ahad, 12 Disember 2021

Hormat pendirian GPS tidak sertai BN, kekal sahabat akrab

BH ONLINE
Ahmad (tengah) menyampaikan Anugerah Belia Cemerlang Parlimen Pontian di sini, hari ini. - Foto NSTP/Omar Ahmad
Ahmad (tengah) menyampaikan Anugerah Belia Cemerlang Parlimen Pontian di sini, hari ini. - Foto NSTP/Omar Ahmad

PONTIAN: Barisan Nasional (BN) menghormati pendirian Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk tidak menyertai BN sebagai parti komponen tetapi kekal sebagai 'sahabat yang akrab'.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata pendirian GPS itu ada dinyatakan ketika pertemuan beliau bersama kepemimpinan BN lain, termasuk Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, baru-baru ini.

"Beliau (Abang Johari) ada menyatakan dalam pertemuan kami itu bahawa keputusan mereka (tiga tahun lalu) supaya parti-parti GPS ini tidak menyertai BN, tetapi mereka kata mereka berkawan rapat dengan BN.

"Mereka (GPS) meletakkan 'Sarawak First' sebagai slogan dengan lain perkataan, mereka inginkan supaya parti di Sarawak ditadbir oleh parti-parti Sarawak. Jadi kita hormati pandangan itu.

"Kita menghargai persahabatan (GPS) dan apabila kita menang nanti, BN menang, mudah-mudahan dalam Pilihan Raya Umum ke-15, Semenanjung dan Sabah sudah tentu kita akan menjemput GPS menyertai Kerajaan Malaysia apabila tiba waktunya.

"Bermaksud BN+GPS, GPS bukan sebagai parti komponen BN tetapi bersama membentuk kerajaan," kata Ahli Parlimen Pontian itu selepas Majlis Anugerah Belia Cemerlang Parlimen Pontian, di sini, hari ini.

Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan seorang penganalisis politik supaya GPS dipertimbang menyertai BN untuk mengukuhkan lagi kestabilan politik dan ekonomi negara.

Semalam, seorang pensyarah dari sebuah universiti tempatan dipetik sebagai berkata, hubungan mesra antara BN dan GPS perlu diterjemah dalam kerjasama politik yang rasmi bagi meneruskan kesinambungan pembangunan Sarawak secara lebih berkesan dan meluas.

Ia perlu dilakukan tanpa mengira apa saja keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 pada 18 Disember ini, kata penganalisis politik itu.

GPS dibentuk pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) susulan kekalahan kerajaan BN dalam PRU-14 yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) menguasai Kerajaan Persekutuan.

Pada 12 Jun 2018, empat parti tempatan Sarawak, Parti Demokratik Progresif (PDP), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) mengumumkan keluar daripada BN, sekali gus membentuk GPS. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.