MALAYAIA POST
SELEPAS lebih setahun berjuang menubuhkan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan mendaftarkannya sebagai parti politik yang sah, pengasasnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, boleh menarik nafas lega apabila usahanya semakin menjadi realiti.
Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini yang mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan MUDA didaftarkan sebagai parti politik dalam tempoh 14 hari.
Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar, mengucapkan terima kasih kepada badan kehakiman yang telah menegakkan undang-undang yang adil kepada parti itu.
“Lebih satu tahun lepas, saya dan rakan-rakan putuskan untuk tubuhkan sebuah parti politik untuk semua rakyat Malaysia, mengangkat politik khidmat dan memimpin dengan dasar yang progresif untuk negara.
“Malaysia perlukan politik MUDA. Zaman politik wang, kuasa dan kedudukan sebagai alat parti politik perlu dihapuskan segera. Apa itu MUDA? MUDA itu untuk semua rakyat Malaysia. MUDA mengangkat suara mereka yang susah, lapar dan sakit.
“MUDA itu untuk mereka yang ditindas dengan politik lama dan lapuk,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, partinya hanya mahu menjadi wakil terbaik dalam politik negara, namun sebelum ini dihalang dan disekat termasuk tidak dibenarkan bertanding dalam pilihan raya dengan bendera MUDA.
“Kami tidak dibenarkan mendaftar ahli dengan sah. Saya sendiri dilabel sebagai Ahli Parlimen Bebas di dalam Dewan Rakyat.
“Bermula dari 30 orang hingga lebih 50,000 ahli yang bernaung bawah nama MUDA, perjalanan MUDA ini tidak mudah.
“Tapi hari ini hari yang bersejarah untuk MUDA. Akhirnya, Mahkamah telah memutuskan bahawa MUDA harus didaftarkan oleh Menteri sebagai parti politik yang sah dalam tempoh 14 hari,” katanya. – Malaysiapost
(*) Kredit Foto: Telegram/Syed Saddiq
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.