Halaman

Isnin, 6 Disember 2021

PAS beri alasan ibarat tukar fatwa ikut selera politik – Ahmad Zahid

MALAYSIA POST

PAS beri alasan ibarat tukar fatwa ikut selera politik – Ahmad Zahid

TINDAKAN pemimpin PAS mencipta pelbagai alasan baharu untuk menjustifikasikan kononnya Umno tidak mematuhi piagam Muafakat Nasional (MN) merupakan alasan politik ibarat menukar fatwa mengikut selera politik, kata Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, seseorang yang bergelar ulama harus mengikut ‘nas’ yang sahih bukan memanipulasi hukum mengikut selera politik untuk memperdagangkan agama demi mencapai objektif siasah.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, kesan daripada gagal menilai itu sangat tidak baik terhadap Umno, malah musibahnya jauh lebih berbahaya kepada rakyat dan negara.

“Sebab itu Umno mempercayai MN yang asal adalah sebenar-benar muafakat yang terbina atas keikhlasan.

“MN di atas landasan perjuangan yang sama iaitu keinsafan untuk berpadu menegakkan kebenaran dan menentang kezaliman,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, muafakat harus membawa berkat dan tidak sesekali mengundang padah terhadap mana-mana pemegang taruh kemuafakatan.

Beliau berkata, tiada keberkatan dalam istilah muafakat apabila sebilangannya diselubungi agenda keegoan, kebencian dan kepura-puraan.

“Muafakat biarlah membawa kebaikan kepada semua, bukan untuk dimanipulasi oleh yang berdendam kesumat ke atas Umno.

“Sejarah ketamadunan mengajar bahaya musuh dalam selimut licik mengambil kesempatan atas kenaifan melakukan kemusnahan.

“Kerana itu Umno perlu bijaksana mentafsir antara muafakat yang jujur berbanding sebuah muafakat yang terselindung tipu daya,” katanya.

Beliau berkata, Umno telah berusaha mengekalkan kemuafakatan itu termasuk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun bertepuk sebelah tangan.

“Pimpinan PAS sering menyatakan menyokong MN, tetapi di Melaka menolak pelawaan Umno untuk berpadu atas nama MN.

“Pimpinan PAS membuat keputusan bergandingan bersama Bersatu yang diketahui tujuannya menjatuhkan Umno. Namun Umno menghormati pendirian dan hak pimpinan PAS itu kerana inilah sebuah negara demokrasi.

“Malah Umno tidak pernah mengarahkan PAS tentang hala tuju politiknya atas semangat kemuafakatan MN yang dimeterai. Tetapi ketahuilah, Umno sedari awal telah pun berada dalam kemuafakatan rakyat iaitu BN,” katanya.

Menurutnya, semangat perpaduan negara hendaklah dipertahankan oleh semua rakyat demi negara tercinta.

“Hidup muafakat membawa berkat, berat sama dipikul ringan sama dijinjing, bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat yang jujur. Biar fakta berbicara,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.