HALAMAN SANTAI

Isnin, 6 Disember 2021

PAS berpotensi menang kerusi sulung di Beting Maro

MALAYSIA POST

PAS berpotensi menang kerusi sulung di Beting Maro 

PAS berpotensi melakar sejarah memenangi kerusi sulung di Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ke-12 ini.  

Ketua Penerangan PAS, Senator Ir Khairil Nizam Khiruddin berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro bakal membuka lembaran baharu parti itu untuk bertapak di Bumi Kenyalang buat pertama kali.  

“Pagi ini saya bersama Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan kepimpinan PAS Pusat, Pemuda PAS Pusat dan PAS Beting Maro mengiringi calon PAS, Mohammad Arifiriazul Paijo untuk PRN Sarawak bagi DUN Beting Maro ke Pusat Penamaan Calon. 

“Alhamdulillah, berdasarkan kepada taklimat yang diberikan kepada kami, InsyaAllah PAS berpotensi untuk mendapat kerusi sulung di Sarawak dalam PRN kali ini,” katanya di Facebook, hari ini  

Justeru, Khairil Nizam merayu semua ahli PAS serta penyokong parti itu di seluruh negara untuk turut serta dalam perjuangan melalui bantuan dalam pelbagai aspek mengikut kemampuan serta kapasiti yang ada.  

“Biarpun kita jauh dari sudut jarak namun hati kita semua mesti menggenggam bara semangat perjuangan yang sama. 

“Apa yang paling penting ialah kebersamaan kita dengan calon yang telah dipilih oleh jemaah iaitu, saudara Arif dalam langkah perjuangan beliau bermula daripada hari ini sehingga ke hari pengundian nanti, insyaAllah. 

“Semoga perjuangan PAS akan lebih subur di bumi Sarawak, amin,” katanya.  

Pada PRN Sarawak kali ini, PAS hanya bertanding satu kerusi iaitu di DUN Beting Maro. – Malaysiapost

Tiada ulasan: