Amri
PAS bukanlah sebuah parti yang oportunis, demikian kata Ir Senator Khairil Nizam Khirudin.
Ketua Penerangan PAS itu berkata, perkara itu telah terbukti menerusi peristiwa penarikan sokongan terhadap bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Ogos lalu.
Beliau berkata, ketika itu PAS menerusi 18 Ahli Parlimen kekal menyokong kepimpinan Muhyiddin walaupun tahu wujud gerakan menjatuhkannya sebagai Perdana Menteri.
“15 Ahli Parlimen yang tarik sokongan dari Perikatan Nasional (PN) sebelum ini, apakah itu datang dari PAS? Tidak, ia menunjukkan kami (PAS) bukan oportunis.
“Jika kita (PAS) bersifat oportunis, kalau kita bergaduh dengan Umno sekarang, kenapa PAS masih lagi bersama dengan Bersatu dalam PN 2.0?
“Kenapa PAS dan Bersatu bersetuju meletakkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri jika beliau datang dari Umno?” katanya dipetik Harakahdaily.
Menurut Khairil Nizam, tindakan PAS untuk bersama Umno, Bersatu dan parti lain adalah untuk memastikan komponen itu cukup kuat untuk berdepan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU).
Katanya, PAS merasakan rakyat bersetuju dengan hasrat itu dan tugas seterusnya adalah mencari formula terbaik demi membolehkan Umno dan Bersatu dapat duduk semeja serta tidak bertembung sesama sendiri pada PRU15. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan