HALAMAN SANTAI

Khamis, 16 Disember 2021

Pas sokong Ismail Sabri terajui kerajaan sampai habis penggal

Tuan Ibrahim Tuan Man

TIADA gangguan atau ‘ribut’ berlaku dalam pentadbiran kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ini, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air itu, Pas akan terus memberi ruang kepada Ahli Parlimen Bera itu menjadi Perdana Menteri sehingga tamat penggal ini.

Memetik laporan Harian Metro, Tuan Ibrahim berkata, ketika ini bukan waktu yang sesuai untuk berbicara mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebaliknya tumpuan perlu diberikan kepada proses untuk memulihkan ekonomi dan krisis kesihatan yang berlaku.

“Gangguan (untuk jatuhkan kerajaan) tidak ada, tidak ada ribut cuma kita melihat di waktu ini bukan waktu sesuai untuk bicara soal PRU, rakyat masih perlu pembangunan ekonomi, aspirasi 100 hari yang diumum oleh Perdana Menteri (baru sahaja berlalu) dan COVID-19 belum selesai.

“Sebab itu Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) buat keputusan untuk nyatakan dokongan sehingga tamat penggal kepada Perdana Menteri yang ada, saya fikir itu terbaik kerana perlu untuk kita sampai ke tahap itu (mencapai tahap pemulihan) insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Projek Empangan Sabo kepada kontraktor di kawasan rekreasi di Titi Hayun, Yan hari ini.

Tuan Ibrahim Tuan Man meninjau keadaan terkini kawasan 
terlibat dengan tragedi kepala air Gunung Jerai, Yan yang 
berlaku Ogos lalu. / Gambar FB KASA

Media semalam melaporkan BBC menyatakan sokongan penuh kepada Ismail Sabri untuk terus mentadbir negara sehingga penggal Parlimen berakhir pada pertengahan 2023.

Pengerusi BBC, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dipetik berkata, kepimpinan Perdana Menteri perlu diteruskan bagi membantu Kabinet memberikan fokus kepada usaha membela rakyat dan mengatasi masalah yang berlaku akibat COVID-19.

Tiada ulasan: