HALAMAN SANTAI

Khamis, 16 Disember 2021

Pejuang ganti Umno – Tun M

MALAYSIA POST

Pejuang ganti Umno – Tun M

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) ditubuhkan sebagai pilihan kepada Umno yang kini dilihat sudah menyeleweng daripada prinsip dan perjuangan asalnya.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Pejuang adalah parti Melayu atau Bumiputera seperti Umno yang jika orang Melayu sudah tidak sanggup memberi undi kepada Umno kerana menyeleweng, dan masih tidak percaya kepada parti berbilang kaum, maka Pejuang boleh dijadikan pilihan.

Menurutnya, bukan sahaja Pejuang parti Melayu tetapi ia mendokong semua prinsip dan perjuangan Umno dahulu yang melawan Malayan Union, yang memerdekakan Malaya, dan membangun negara sehingga dikenali sebagai Asian Tiger.

“Sehingga kini orang Melayu hanya kenal Umno sebagai parti Melayu. Bagi mereka tidak ada pilihan jika nak sokong parti Melayu melainkan Umno.

“Mereka tidak percaya parti berbilang kaum, bahkan parti Islam pun boleh memelihara hak dan keselamatan orang Melayu.

“Malangnya Umno sudah dirampas oleh perasuah dan penyangak. Mereka hanya berhasrat mengguna Umno dan orang Melayu untuk jadi kerajaan dan mengguna kuasa untuk memperkayakan diri mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Mahathir berkata, negara kini bertukar dari menjadi Harimau Asia kepada kleptokrasi iaitu negara yang diperintah oleh pencuri, penjenayah.

“Jika Umno masih disokong maka Malaysia akan kekal sebagai kleptokrasi. Maka akan rosak dan hancurlah negara dan orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata, Pejuang menentang rasuah, jenayah kewangan dan salah guna kuasa serta kepimpinannya terdiri dari bekas pemimpin Umno yang telah berjaya bangunkan Malaysia.

“Mereka akan latih semua pemimpin Pejuang supaya pegang kuat kepada prinsip perjuangan Umno dahulu iaitu khidmat untuk bangsa, negara dan agama – bukan untuk diri sendiri.

“Calon-calon Pejuang akan terdiri dari mereka yang tidak terlibat dengan rasuah, yang utamakan bangsa, negara dan agama,” katanya.

Menurutnya, kerajaan yang akan didirikan Pejuang akan dianggotai juga oleh bukan Melayu yang menolak rasuah dan percaya kepada kerjasama antara kaum dan agihan kekayaan secara adil antara kaum-kaum di Malaysia.

“Dengan adanya Pejuang yang disertai oleh orang Melayu dan bumiputera maka orang Melayu dan bumiputera yang tidak sanggup sokong Umno kerana korupsi dan jenayah mereka, dapatlah mereka sokong Pejuang.

“Pejuang adalah sebuah parti Melayu yang bersih dan cinta kepada bangsa, negara dan agama,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: