Bernama

Ramai
dalam kalangan penganalisis politik berpandangan bahawa walaupun PRN12
Sarawak 'sesak' dengan penyertaan calon dari pelbagai parti dan calon
bebas. - Foto fail
KUALA LUMPUR:
Ramai dalam kalangan penganalisis politik berpandangan bahawa walaupun
Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) 'sesak' dengan penyertaan
calon dari pelbagai parti dan calon bebas, namun pertandingan sebenar
adalah antara parti kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di satu pihak
dan DAP serta Parti Sarawak Bersatu (PSB) di satu pihak lagi.
Pilihan
Raya pada 18 Dis ini menarik jumlah penyertaan calon terbesar dalam
sejarah, apabila 349 calon daripada parti-parti dalam GPS, sembilan
pakatan pembangkang, serta calon-calon bebas hadir di pusat penamaan
calon (PPC) yang disediakan antara pukul 9 dan 10 pagi semalam bagi
menawarkan diri untuk bertanding.
GPS
akan dicabar di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang
ditandinginya buat kali pertama sebagai gabungan parti tempatan
sepenuhnya, selepas ia bertindak keluar daripada Barisan Nasional (BN)
pada 2018.
Pemerhati
politik Dr Jeniri Amir dan Dr Lee Kuok Tiung, kedua-duanya anak
Sarawak, senada jelas tidak terperanjat dengan jumlah calon yang besar
itu.
"Kali ini memang ' sesak', namun
pertarungan sebenar adalah DAP dan PSB menentang GPS. Parti-parti atau
calon bebas pula akan menghadapi cabaran yang sengit. Soalnya berapa
banyak kerusi yang boleh dimiliki pembangkang, bukan mudah untuk
menewarkan GPS, yang pastinya akan menang dalam PRN ini," kata bekas
pensyarah Universiti Malaysia Sarawak yang kini merupakan Felo Kanan
Majlis Profesor Negara.
Dr
Lee dari Universiti Malaysia Sabah pula merumuskan keseluruhan situasi
bagaikan pertembungan tiga penjuru, dengan mengatakan bahawa DAP dan PSB
adalah parti politik yang boleh menampilkan 'pertarungan sengit' dalam
menghadapi GPS, berbanding parti-parti lain.
Komponen
parti GPS yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB),
Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan
Parti Demokratik Progresif (PDP);
merupakan watak penting yang berjaya
menawan 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan pada PRN 2016, yang
menyaksikan DAP memenangi tujuh daripada 31 kerusi yang ditandinginya.
Dr
Jeniri berkata di atas kertas, PSB mungkin menyertai pilihan raya bagi
kali pertama, namun parti itu diterajui oleh ahli politik veteran Datuk
Seri Wong Soon Koh yang juga bekas anggota kabinet kerajaan negeri -
jadi beliau bukanlah 'baharu' dalam erti kata yang sebenar.
"PSB
memiliki calon yang mantap, ahli politik yang berpengalaman dan cukup
biasa dengan persekitaran semasa di kawasan pertandingan. Ada antara
anggota mereka merupakan bekas menteri, profesional, dan mereka juga ada
Baru Bian," katanya, dengan merujuk kepada bekas ketua PKR yang akan
mempertahankan Ba'kelalan atas tiket PSB kali ini dalam saingan lima
penjuru.
Dr Lee bersetuju bahawa Baru
memiliki peluang yang baik untuk mememangi kerusi DUN itu atas tiket PSB
kerana beliau mempunyai ramai penyokong tegar yang masih setia
kepadanya.
PSB menampilkan 70 calon dalam
usaha merealisasikan hasrat menggantikan kerajaan GPS dan peluang
terbaiknya dilihat di kawasan majoriti kaum Cina dan gabungan
Cina-Dayak.
DAP menampilkan 26 calon, dan
dominasinya kekal dalam kawasan bandar dengan majoriti kaum Cina. Parti
itu berhasrat untuk menafikan GPS daripada membolot majoriti dua
pertiga.
Dr Lee berkata populariti DAP
dilihat semakin menurun selepas pilihan raya umum lepas, dan ini dapat
dilihat menerusi respons ramai kepada parti ini terhadap 'janji yang
tidak ditepati'.
"DAP juga berhadapan
dengan 'lawan yang kuat' kali ini. Lihat sahaja di kawasan DUN Padungan
yang menyaksikan 'lawan' Pengerusi DAP Sarawak Chong Chien Jen adalah
adalah Datuk Bandar Kuching Selatan," katanya merujuk kepada langkah
Chong yang beralih daripada DUN Kota Sentosa untuk bertanding di hub
perniagaan di Padungan.
Kedua-dua
penganalisis itu pesimis terhadap keupayaan PKR yang akan bertanding di
28 kerusi DUN, jumlah yang kurang dengan ketara berbanding 40 kerusi DUN
yang ditandinginya pada pilihan raya negeri lepas, dan berjaya
memenangi tiga kerusi DUN.
Sejak itu Baru
dan ADUN Batu Lintang See Chee How bertindak meninggalkan PKR untuk
menyertai PSB dan pemenang kerusi DUN Krian Datuk Ali Biju menyertai
Bersatu.
Bagaimanapun Ali Biju pada Isnin memutuskan untuk mempertahankan kerusi DUN Krian sebagai calon bebas.
"Saya rasa dari segi kekuatan, PSB lebih kuat berbanding PKR pada tahun 2016," kata Dr Jeniri.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.