MALAYSIA POST
PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyeru semua kepimpinan dan ahlinya agar terus berjuang menegakkan kebenaran walaupun berdepan pelbagai ujian ketika ini.
Beliau berkata, Umno kini berdepan ujian daripada pihak yang licik menyusun agenda dan naratif menggunakan pelbagai tipu muslihat untuk menjatuhkannya.
“Perjuangan untuk menegakkan kebenaran penuh dengan onak dan duri, namun tidak mengapa kerana itulah ujian.
“Langkah menegakkan kebenaran bertambah ranjau tatkala kebatilan sentiasa merancang untuk menyekat.
“Kebatilan yang licik mengatur serta menyusun agenda dan naratif menggunakan segala tipu muslihatnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, bukan semua sanggup menentang kebatilan serta memilih untuk mengalah kerana tidak mampu menghadapi cabaran dan kesannya.
“Meski begitu yang tunduk tidaklah lebih teruk berbanding yang menawarkan diri jadi alat menidakkan kebenaran.
“Apatah lagi sanggup memanipulasi agama mengelirukan antara kebatilan dan kebenaran demi menghalalkan kehendak.
“Namun Insya-Allah perjuangan menegakkan kebenaran pasti beroleh keberkatan kerana kezaliman harus ditewaskan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, biar apa jua pakatan atau perancangan yang cuba menafikan kebenaran, ahli Umno perlu terus berjuang untuk menegakkan kebenaran serta berdoa dan berserah memohon pertolongan daripada Allah SWT.
“Kepada sahabat dan rakan yang tidak pernah tunduk serta gentar kepada kebatilan dan kezaliman janganlah bimbang.
“Insya-Allah, yakinlah dengan apa yang terkini kita saksikan seharusnya menjadi azimat penguat semangat meneruskan perjuangan.
“Kini kita ada sebab dan tujuan yang lebih jelas lagi meyakinkan perjuangan ini sebuah perjuangan yang luhur,” katanya. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan