Pelajar bebas merokok.
Oleh SHAH NIZAM OMAR.
RAWANG – Kawasan sekitar Medan Puteri berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri di sini, telah menjadi ‘sarang’ kepada sekumpulan pelajar untuk merokok secara terbuka.
Apa yang menyedihkan, kumpulan pelajar terbabit melakukan aktiviti tersebut ketika mereka lengkap berpakaian sekolah tanpa sebarang rasa bersalah.
Tinjauan KOSMO! di kawasan tersebut mendapati, pelajar terbabit bukan sahaja berani melanggar disiplin sekolah namun langsung tidak mempedulikan orang ramai yang memerhatikan gelagat mereka.
Lebih menghairankan, sebuah kedai runcit yang terletak di medan tersebut turut membenarkan pelajar-pelajar membeli rokok walaupun mereka lengkap berpakaian seragam sekolah.
Walaupun terdapat larangan menjual bahan tembakau kepada remaja di bawah 18 tahun tetapi pemilik kedai tetap ‘degil’ dengan menjual rokok tanpa menghiraukan amaran tersebut.
KOSMO! yang membuat tinjauan selepas sesi persekolahan tamat pada pukul 1 petang juga mendapati, kedai tersebut dijadikan tempat transit sebelum mereka pulang ke rumah masing-masing.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Pak Din, 50, memberitahu, kegiatan mereka itu telah berlaku sejak awal tahun 2007 dan melibatkan pelajar tingkatan satu hingga lima.
“Saya lihat, tiada langsung perasaan bersalah atau takut merokok di tempat terbuka malah bilangan mereka semakin ramai di situ,” katanya.
Beliau seterusnya mendakwa, tiada tindakan yang diambil oleh pihak sekolah untuk membanteras kegiatan pelajar tersebut sehingga mereka berani melakukannya di tempat terbuka.
“Memang ia berlaku di luar sekolah tetapi pihak sekolah masih boleh mengambil tindakan disiplin ke atas mereka kerana medan tersebut tidak berada jauh dengan sekolah,” katanya.
Pak Din kemudiannya memberitahu, ibu bapa harus memainkan peranan dengan memantau kegiatan mereka setiap hari dan tidak bergantung sepenuhnya pada pihak sekolah.
“Saya rasa ibu bapa boleh mengetahui sama ada anak mereka menghisap rokok atau tidak dengan bau yang melekat pada baju mereka,’’ katanya.
“Jadi tidak adil untuk menyalahkan pihak sekolah dan disiplin ana-anak sebenarnya perlu dibentuk bermula dari rumah lagi, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.