HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Mei 2008

Polis suraikan peserta perhimpunan Jerit


KUALA LUMPUR: Polis menyuraikan sekumpulan lebih 200 orang termasuk kanak-kanak yang menghadiri satu perhimpunan haram anjuran kumpulan yang menggelarkan mereka sebagai Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) di Dataran Merdeka di sini pagi ini.

Kumpulan itu yang turut terdiri daripada 20 orang Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Rakyat dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain, mula berkumpul sejak 9.40 pagi di sebalik halangan besi yang dikawal polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Setelah diminta bersurai oleh polis kira-kira sejam selepas itu, peserta (perhimpunan) dilihat berarak dan seterusnya menuju ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Confucian, dekat sini, bagi mengadakan program bersama Wakil Rakyat dan ADUN daripada Pakatan Rakyat.

Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang juga ADUN Kota Damansara Dr Nasir Hashim yang mewakili kumpulan itu berkata, Jerit menganjurkan perhimpunan itu bagi meraikan Hari Pekerja yang disambut hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Zulkarnain Abdul Rahman ketika ditemui pemberita berkata tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku dan tidak ada tangkapan dibuat berikutan perhimpunan itu.

"Mereka tidak memohon permit untuk adakan perhimpunan tetapi saya hanya dapat surat berkenaan perhimpunan itu, yang diberi oleh Setiausaha Agung PSM, S. Arutchelvan beberapa minit sebelum mereka mula berkumpul.

"Maka kita (polis) terpaksa memberi arahan kepada mereka untuk bersurai secara aman. Aktiviti yang akan diadakan di sekolah (SMJKC Confucian), adalah hak mereka sebab dibuat dalam kawasan tertutup, bukan seperti di sini (Dataran Merdeka) yang mengganggu pengguna jalan raya," katanya.

Seramai 400 anggota polis termasuk dari IPD Dang Wangi dan Bukit Aman, digunakan bagi mengawal perhimpunan itu, katanya.

Terdahulu, polis terpaksa menutup Jalan Raja yang terletak berhadapan Dataran Merdeka bagi menghalang kemasukan peserta perhimpunan itu sejak pukul 7 pagi ini. BERNAMA

Tiada ulasan: