Satu lagi menara penghantaran elektrik tumbang di Sabah
KOTA KINABALU: Sebuah lagi menara penghantaran elektrik 132kV di Sabah tumbang dan kali ini di Kampung Lokub, Sepanggar berdekatan dengan kawasan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Sabah, dekat sini, kira-kira pukul 8.35 malam semalam.
Pengarah Urusan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Baharin Din berkata kejadian itu berlaku akibat sebahagian atau dianggarkan lebih 60 batang daripada besi menara berkenaan telah hilang.
"SESB telah mendapati kehilangan besi tersebut ketika membuat pemeriksaan lanjut ke atas menara-menara di kawasan sekitar, sejak kejadian pada 21 April lepas dan telah membuat laporan polis mengenai kehilangan itu.
"Pihak polis telah berada di menara berkenaan tengah hari semalam untuk membuat pemeriksaan lanjut sebelum menara berkenaan tumbang kira-kira pukul 8.35 malam," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa meninjau kawasan menara penghantaran elektrik yang tumbang di Kampung Lokub, hari ini.
Kawasan kejadian terbaru itu terletak tidak jauh daripada menara yang pertama tumbang di Sepanggar pada 21 April lepas yang mengakibatkan bekalan elektrik terputus hampir di seluruh Sabah.
Baharin berkata sejurus selepas mendapati kehilangan sebahagian daripada besi menara, anggota kerja SESB telah mengambil tindakan untuk menggantikan bahagian besi menara yang hilang dan setakat tengah hari semalam telah berjaya memasang sebanyak 40 bahagian menara berkenaan.
Bagaimanapun, katanya menara itu didapati tidak stabil serta berbahaya sehingga menyukarkan kerja-kerja pembaikan.
"Seperti yang dijangka, bahagian-bahagian berkenaan tidak mampu menahan menara berkenaan lalu tumbang. Bagaimanapun tidak ada gangguan bekalan berlaku kerana kuasa tenaga pada talian berkenaan telah diputuskan sejak kejadian pada 21 April lepas," katanya.
Sementara itu, Baharin merayu kerjasama orang awam untuk mencegah perbuatan vandalisme atau kes curi kerana ia telah menimbulkan kesulitan dan kesukaran kepada rakyat Sabah.
Beliau berkata orang awam yang melihat orang yang mencurigakan berada di tapak menara SESB supaya melaporkan kepada polis atau menghubungi SESB di talian 088282455 atau talian kecemasan 15454.
Baharin juga berterima kasih kepada pihak polis yang telah menubuhkan pasukan petugas untuk menyiasat kes vandalisme.
"Kita sudah membaiki beberapa menara dan kita harap perbuatan vandalisme ini tidak akan berlaku lagi," katanya, sambil menambah bahawa kerugian terkumpul akibat kerosakan menara penghantaran elektrik setakat ini dianggarkan mencecah RM1 juta. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan