HALAMAN SANTAI

Sabtu, 5 Disember 2009

Bilangan mangsa banjir pindah di Pahang meningkat

UTUSAN ONLINE


KUANTAN - Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di negeri ini meningkat kepada 335 orang berbanding 36 orang semalam.

Kesemua mangsa ditempatkan di lima pusat pemindahan iaitu tiga di Maran manakala masing-masing satu di daerah ini dan Bera.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri berkata, mangsa terbaru yang dipindahkan ke pusat pemindahan kira-kira pukul 10 pagi ini seramai 281 orang dari Maran dan 18 orang di Bera.

"Mangsa dari Maran merupakan penduduk di tiga kampung iaitu Kampung Chendong, Kampung Ulu Luit dan Kampung Bukit Kuin.

"Mereka ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Perpaduan Teladas, Balai Raya Ulu Luit dan surau Bukit Kuin," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut jurucakap itu, pusat pemindahan sementara di Kompleks Rakan Muda Kerayong Bera pula menempatkan lima keluarga dari Kampung Paya Tateh dan Kampung Paya Helang.

Katanya, mangsa banjir di daerah ini terdiri daripada 36 penduduk Kampung Sungai Ular dan Kampung Chendor Baru yang masih ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Cherating Baru.

Dalam pada itu, maklumat daripada laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan bacaan paras air sungai di beberapa sungai utama di negeri ini semakin meningkat melepasi paras normal sehingga 6 petang ini

Antaranya di Sungai Tembeling yang berada di paras 62.72 meter berbanding normal 60 meter, Sungai Pahang di Sungai Yap di paras 46.77 (normal 44 meter), Sungai Triang 33.32 meter (31 meter), Sungai Kuantan di Bukit Kenau 18.53 meter (17 meter) dan Empangan Repas di paras 109.91 meter (99 meter).

Tiada ulasan: