UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Rakyat boleh menarik nafas lega apabila 55 inisiatif baru akan diperkenalkan bagi menurunkan kadar jenayah di negara ini tahun depan.
Inisiatif yang terhasil melalui bengkel dan perbincangan Kementerian Dalam Negeri dengan beberapa agensi serta kementerian lain bertujuan mencapai penurunan kadar jenayah jalanan sebanyak 20 peratus.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, inisiatif itu juga bertujuan menurunkan kadar jenayah keseluruhan sebanyak lima peratus menjelang akhir tahun depan.
"Inisiatif ini antara lain memberi tumpuan bagaimana kita boleh gerakkan badan sukarelawan seperti Rela dan JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia) selain menggunakan kaedah kemasyarakatan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya untuk membantu kita membanteras jenayah khususnya jenayah jalanan.
"Selain itu kita juga akan menempatkan lebih banyak balai polis bergerak dan menambah jumlah rondaan polis menggunakan motosikal di kawasan yang berisiko tinggi," katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan penutupan Persidangan Pasaran Modal Malaysia ke-14 di sini hari ini.
Hishammuddin menjelaskan, kerajaan juga mahu memperkenalkan kaedah yang membantu penjenayah yang dipenjarakan mampu menjadi anggota masyarakat yang lebih berguna apabila dibebaskan.
"Kita perlu tunjukkan kepada masyarakat kita serius membanteras jenayah," katanya.
Jelasnya, kerajaan juga mahu mewujudkan rangkaian pembanterasan jenayah bermula dengan pendidikan, pembasmian dan pemulihan.
Beliau menambah, beberapa langkah pencegahan yang diperkenalkan tahun ini seperti rondaan bersama anggota Rela dengan polis berjaya mengurangkan jenayah jalanan sehingga 14 peratus di Kuala Lumpur.
Katanya, pengenalan inisiatif baru itu adalah sejajar dengan satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di mana pembanterasan jenayah adalah yang paling penting.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan akan mengkaji kaedah yang lebih berkesan bagi menapis kemasukan rakyat dan pekerja asing di negara ini mulai tahun hadapan.
Katanya, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mempengerusikan satu jawatankuasa bagi tujuan itu.
Jelasnya, walaupun kehadiran pendatang asing sama ada yang sah atau sebaliknya di negara ini terletak di bawah bidang Kementerian Dalam Negeri, namun pihaknya tidak memiliki maklumat penuh mengenai keperluan pekerja asing atau kehadiran pelajar asing di negara ini setiap tahun.
"Kerajaan akan melihat secara menyeluruh aspek pekerja asing dan rakyat negara luar yang datang ke Malaysia. Oleh itu proses kemasukan rakyat asing dalam kategori tertentu mulai tahun hadapan akan diperketatkan,'' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan