Oleh Nurhayati Abllah
IPOH: Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaip), Datuk Sheikh Mohamah Nor Mansur Al-Hafiz didakwa cuba bermain politik dalam pelantikan pengerusi dan ahli jawatankuasa kariah masjid di negeri ini sehingga membelakangkan senarai diperkenankan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP).
Perbuatan itu terbongkar selepas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mendakwa senarai nama pengerusi dan setiausaha masjid di Mukim Slim dan Behrang dalam Parlimen Tanjung Malim berlainan daripada senarai nama asal yang diluluskan MAIAMP sebelum ini.
Ia menyebabkan majlis penyampaian watikah yang sepatutnya diadakan pada 11 Disember lalu terpaksa ditangguhkan selepas Orang Besar Jajahan (OBJ), Daerah Batang Padang, Datuk Seri Yeop Junior Adlan, mengarahkan Pegawai Tadbir Agama (PTA) Slim River menyemak semula senarai itu ekoran bantahan pelbagai pihak.
Adun Slim River, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dalam laman blognya mendedah dan mendakwa modus operandi Pengarah Jaip ialah mengarahkan PTA yang 'sehaluan' memotong nama yang diperkenankan Yang Dipertua MAIAMP dan menggantikannya dengan nama pemimpin Pas.
“Nama yang dipotong digantikan dengan nama pemimpin Pas menggunakan tulisan tangan sebelum dihantar semula ke pejabat Jaip. Kemudian Jaip akan membuat senarai baru tanpa merujuk semula kepada OBJ,” katanya dalam laman blog, semalam.
Mohd Khusairi mendakwa, apabila dipertikaikan, Pengarah Jaip dan PTA bertegas kononnya senarai itu sudah mendapat perkenan Raja Muda, sedangkan nama terbabit baru dimasukkan dengan meminda senarai asal yang diperkenankan baginda.
Sementara itu, ketika diminta mengulas perkara itu, Yeop Junior berkata, beliau tidak meminta majlis penyampaian watikah itu ditangguhkan, sebaliknya menerima arahan berbuat demikian, namun enggan membuat sebarang ulasan.
Mohamah Nor yang juga Setiausaha MAIAMP ketika dihubungi berkata, beliau diminta MAIAMP untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu sehingga ada bukti jelas mengenainya.
"Saya tidak boleh komen sehingga ada bukti. Mungkin Isnin ini akan ada keputusan dan akan dimaklumkan (kepada umum)," katanya.
Timbalan Pengarah Jaip, Mohd Yusop Husin berkata, pelantikan pengerusi dan ahli jawatankuasa berkenaan adalah satu isu sensitif kerana membabitkan perkenan Raja Dr Nazrin malah Pegawai Tadbir Agama Slim River, Mokhlis Husain juga enggan mengulas perkara itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan