HALAMAN SANTAI

Khamis, 17 Disember 2009

Selangor cadang undang-undang sekat ilmu hitam

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM - Selangor menimbang untuk mewujudkan satu enakmen bagi menyekat amalan sihir dan ilmu hitam di negeri itu.

Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid berkata, ia dibuat setelah pihaknya menerima kertas cadangan daripada pakar agama dan perundangan Islam yang mengadakan perbincangan hari ini untuk dibawa ke peringkat Jawatankuasa Fatwa Negeri bagi penelitian.

Bagaimanapun katanya, memandangkan sihir dan ilmu hitam merupakan isu nasional, kertas cadangan itu kemungkinan akan dibawa ke peringkat Muzakarah Fatwa Kebangsaan untuk dibincangkan dengan lebih lanjut.

"Selepas perbincangan di peringkat muzakarah fatwa kebangsaan, cadangan itu akan dibawa dalam Majlis Raja-Raja dan sekiranya dipersetujui akan dibawa balik ke peringkat negeri untuk diwartakan sebagai enakmen sebelum dikuatkuasakan.

"Ilmu sihir ini bercanggah dengan kehendak syarak. Masalahnya adalah untuk mendapatkan bukti bagi tujuan perundangan memandangkan ilmu sihir tidak dapat dilihat oleh pancaindera kerana ia adalah abstrak.

"Maka, kita harapkan cadangan yang dibincangkan di peringkat pakar hari ini membolehkan pembuktian dapat dilakukan bagi melaksanakan apa-apa hukuman," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Muzakarah Pakar: Bentuk-Bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis di sini, hari ini.

Turut hadir para hakim Mahkamah Rayuan Syariah, hakim-hakim syarie, ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa Selangor termasuk Datuk Dr. Haron Din selaku pembentang kertas kerja.

Tambah Tamyes, enakmen sedemikian perlu diwujudkan di negara ini bagi membanteras penggunaan ilmu hitam yang semakin berleluasa terutamanya dalam perkahwinan dan aktiviti jenayah.

Jelasnya, sekiranya tiada enakmen tersebut, ia akan membolehkan pasangan suami isteri, bomoh atau penjenayah yang mengamalkan ilmu sihir yang melakukan jenayah dan menganiayai orang lain terlepas daripada hukuman kerana tiada peruntukan undang-undang.

Sementara itu, Haron ketika bercakap kepada pemberita memberitahu, agama melarang amalan sihir kerana ia bukan hanya mendatangkan kerosakan kepada pengamalnya tetapi juga kepada masyarakat umum.

"Tidak ada dalam mana-mana agama membenarkan amalan sihir ini dilakukan, memang benda jahat seperti ini dilarang baik dalam agama Kristian, Yahudi mahupun Buddha manakala dalam Islam ia diharamkan.

"Jadi, bila semua agama melarang, asasnya cukup kuat bagi menjadikan larangan itu sebagai undang-undang umum. Saya tidak fikir ada orang membantah wujudnya enakmen ini melainkan ahli sihir," katanya.

Tiada ulasan: