HALAMAN SANTAI

Isnin, 2 April 2012

PENDUDUK RUNDUM TUNGGU JANJI MUSA

Oleh: THAMPAREQ KITOES


PENGERUSI Persatuan Penduduk Pakat Kg Abingkoi Mukim Rundum, Rainus Sagulau 40, (gambar), mengalu-alukan kenyataan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Haji Aman baru-baru ini berhubung hasratnya untuk menukar status tanah hutan simpan kepada tanah negeri supaya rakyat dapat hak tanah sendiri, suatu langkah yang baik.

Beliau berkata, kenyataan yang sama pernah dibuat Ketua Menteri itu ketika merasmikan Pesta Kalimaran tahun 2011 mengakibatkan rakyat di kawasan yang bermasalah tidak sabar menanti bilakah penantian mereka akan berakhir dan menjadi kenyataan.

“Kita tidak sabar menunggu bilakah janji Ketua Menteri itu tertunai kerana kami yang terlibat dengan isu tanah Adat Anak Negeri (NCR) yang berada di kawasan hutan simpan teringin sangat masalah ini diselesaikan secara serius, seboleh-bolehnya sebelum pilihanraya umum kali ke-13,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Menteri Sabah itu ketika memberitahu wartawan selepas menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Kewangan Negeri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada Rabu.

Datuk Seri Musa dipetik sebagai berkata, kerajaan bersedia untuk mempertimbangkan permohonan rakyat yang telah menduduki kawasan hutan simpan sejak berpuluh tahun dengan menukarkan status tanah hutan simpan kepada tanah kerajaan negeri supaya rakyat dapat hak tanah sendiri.

Dalam pada itu, Rainus berharap agar kenyataan Ketua Menteri itu tidak lagi berganjak daripada matlamat asalnya kerana rakyat di kawasan NCR, termasuklah di kawasan Kg Abingkoi dalam Mukim Rundum; yang diwarisi daripada nenek moyang mereka sejak tahun 1928; menerusi nenek mereka, Mangga bin Guna yang dilahirkan di situ, tidak dikecewakan lagi.

Beliau menambah, mereka menggesa pihak berkuasa khususnya kerajaan Negeri Sabah agar memperbetulkan keadaan itu dengan sewajarnya kerana selagi tidak diselesaikan rakyat, terutamanya masyarakat Murut yang menduduki kawasan NCR sentiasa berada dalam kebimbangan kerana khuatir kalau-kalau mereka diusir lagi.

“Kalau kami diusir, di mana lagi kami menetap selepas itu? Tiada orang sanggup menerima kami kerana kami ada kampung halaman tetapi kerajaan telah musnahkan,” tegas beliau.

Tambahnya, siapakah yang sanggup memberi muka kepada mereka untuk menumpangkan tanah walau seinci pun untuk membina rumah, apatah lagi tanah itu hak mereka. Siapakah yang bertanggung jawab menyebabkan mereka tidak bertanah dan hilang perkampungan, sedangkan mereka penduduk tulen di situ?

Tiada ulasan: