HALAMAN SANTAI

Isnin, 2 April 2012

PROGRAM BELIA GAGAL CAPAI SASARAN

Oleh : CHANG SHAK HUNG


GOLONGAN belia yang ingin dan telah menceburi bidang perniagaan, merupakan satu kesinambungan di dalam industri perniagaan di dalam negara.

Semasa saya menghadiri perjumpaan belia yang melibatkan pertubuhan dan persatuan belia Cina di Sandakan pada 9 Mac 2012, para belia telah mengutarakan beberapa isu dan perkara yang masih membelenggu golongan belia sehingga ke hari ini.

Salah satu adalah berhubung dengan ‘Sistem Penyampaian Maklumat’ yang sepatutnya dimainkan peranan oleh pihak kerajaan dalam membantu golongan belia terutamanya dalam menceburi bidang perniagaan di Sandakan khususnya dan di Sabah amnya.

Melalui maklumat yang diperolehi, terdapat satu skim yang dikenali sebagai Skim Belia Niaga (SBN) yang disediakan khas untuk para belia yang berumur 18 hingga 40 tahun untuk menceburi diri dalam bidang perniagaan secara sepenuh masa.

Pemohon boleh mendaftar secara online melalui laman web Majlis Penggalakkan Ekonomi Belia (MPEB) di www.mpeb.gov.my dan tujuan pinjaman ini dibuat bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran serta dijadikan modal kerja.

Selain itu juga, terdapat Skim Belia Tani-I (SBT-i) dan Skim Usahawan Tani Komersil Siswazah (SUTKS) yang diwujudkan bagi tujuan membantu golongan belia mempertingkatkan diri dalam aktiviti pertanian dan asas tani. Maklumat lanjut boleh diperolehi melalui cawangan di AgroBank atau melayari laman web www.agrobank.com.my.

Bagi menggalakkan siswazah yang telah tamat pengajian menceburi bidang perniagaan di dalam industri seperti sektor pengangkutan, pelancongan dan francais, satu skim yang dikenali sebagai Tabung Usahawan Siswazah (TUS) telah diwujudkan dan maklumat lanjut boleh diperolehi melalui SME Bank.

Syarat permohonan termasuklah graduan tidak melebihi umur 40 tahun dan perlu lulus program latihan anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD).

Di samping itu juga, kerajaan juga telah menubuhkan sebuah syarikat modal teroka milik kerajaan yang bernama 'MyCreative Venture Capital' memperuntukan dana permulaan sebanyak RM200 juta untuk memberi golongan belia yang mempunyai minat dan kebolehan dari segi inovatif di dalam bidang teknologi.

Selain itu juga, beberapa inisiatif yang telah diberikan oleh kerajaan dan ini termasuklah pembentangan Bajet 2012 yang telah dibentangkan tahun lalu oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak dengan peruntukan yang begitu besar sekali.

Namun yang demikian, kesukaran untuk mendapatkan bantuan yang disediakan oleh pihak kerajaan mungkin menjadi mimpi ngeri memandangkan peruntukan yang besar ini, langsung tidak dihebohkan dan disampaikan oleh pemimpin Barisan Nasional dan Wakil Rakyat terutamanya di Sandakan ini.

Antara skim pinjaman yang boleh diperolehi oleh para pengusaha terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah seperti pembelian atau menaiktaraf mesin; memberi pinjaman mudah dengan menyediakan pembiayaan modal kerja dan modal pusingan; pembelian perisian komputer serta perkakasan untuk meningkatkan kecekapan operasi perniagaan dan lain-lain lagi.

Laman web yang lain yang boleh dilayari adalah seperti www.midf.com.my (Malaysian Industrial Development Finance Bhd), www.pns.com.my (Perbadanan Nasional Bhd) dan www.smebank.com.my (Bank Perusahaan Kecil & Sederhana M’sia Bhd).

Bajet 2012 juga telah memperuntukan RM300 juta untuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) yang telah dinaikkan dari RM120 juta pada tahun 2011 kepada RM300 juta pada tahun 2012. Tabung ini adalah khas untuk kaum bumiputera sahaja.

Bukan itu sahaja, kerajaan telah memperuntukan RM2.1 billion untuk Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi tujuan pembiayaan pinjaman mikro dan daripada jumlah tersebut, RM100 juta diperuntukan untuk kaum Cina dan RM100 juta untuk kaum India melalui satu unit khas di bawah AIM.

AIM diwujudkan bagi mengurangkan kadar kemiskinan di Malaysia melalui pemberian pembiayaan kepada isi rumah miskin bagi membiayai kegiatan ekonomi yang boleh meningkatkan pendapatan mereka.

Oleh yang demikian, pihak kerajaan melalui Wakil Rakyat (YB) sepatutnya melaksanakan tanggungjawab dalam membantu belia dengan sistem penyampaikan maklumat (information delivery system) yang efisien dan tidak mensia-siakan niat murni kerajaan dalam membantu golongan belia.

Penduduk di Sandakan terutamanya golongan belia tidak harus dipinggirkan dalam arus pembangunan terutamanya dari segi peluang perniagaan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia.

Tiada ulasan: