Pilihan Raya Kampus.
Pilihan Raya Kampus.
Lima universiti yang telah mengadakan sesi pengundian ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknikal Malaysia (UteM) dan Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM).
Seperti lazim, saingan dilihat antara Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa, yang penganalisis melihat ia menggambarkan perkembangan sebenar politik nasional. Pilihan raya kali ini diadakan lewat sembilan bulan. Mengikut kalendar, ia sepatutnya diadakan awal tahun ini.
Mengulas perkembangan ini, Pro-Mahasiswa berkata pihaknya 'menyambut' kemenangan Pro-Aspirasi sekiranya ia diadakan dengan adil dan bersih.
“Kami tidak kisah jika Pro-Aspirasi menang asalkan pemilihan telus dan adil. Jika menang dengan cara kotor, itu bukan kemenangan sejati,” kata Presiden Pro-Mahasiswa, Edikoup Lakip Sediyanto ketika dihubungi hari ini.
Sehubungan itu, beliau juga berharap pilihan raya kampus di pusat-pusat pengajian tinggi lain, yang akan berlangsung minggu depan, berjalan dengan bersih dan adil.
Beberapa universiti yang akan melangsungkan pengundian minggu depan pernah dikuasai oleh kumpulan Pro-Mahasiswa pada sesi lalu dan justeru, persaingan dilihat sengit.
Kata beliau, calon Pro-Mahasiswa tidak bertanding di setiap universiti yang tersenarai dalam Pilihan Raya Kampus sesi 2012/2013.
"Universiti Malaysia Perlis termasuk dalam senarai tersebut di mana kesemua kerusi dipertandingkan atas tiket individu," katanya.
Berdasarkan maklumat diperoleh, kumpulan Pro-Aspirasi meneruskan penguasaan pilihan raya kampus UiTM yang menawarkan 226 kerusi, di kesemua kampusnya di seluruh negara, termasuk 50 di kampus induk di sini.
Mengulas perkembangan tersebut, Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, seratus peratus pemimpin yang terpilih semalam adalah mahasiswa.
Sementara itu, di UTHM, kerusi yang dipertandingkan adalah 27 kerusi dan memperlihatkan kemenangan besar kepada kumpulan Pro-Aspirasi iaitu 25 kerusi.
Di UniMAP, sejumlah 31 kerusi dipertandingkan iaitu sembilan kerusi umum manakala 22 kerusi Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK).
Daripada jumlah itu, 16 kerusi dilaporkan dimenangi tanpa bertanding, kesemuanya dikatakan calon kumpulan Pro-Aspirasi. Kerusi-kerusi lain dimenangi, sebahagiannya calon bebas semalam selepas selesai pengundian.
Dalam pada itu, Ketua Unit Komunikasi Korporat UniSZa, Nurhana Ghazali berkata, calon bertanding merebut kerusi atas tiket individu dan proses pembuangan undi berlangsung dengan lancar.
Pada 13 September lalu, kata beliau, universiti itu telah mengadakan proses penamaan calon, di mana tidak mempunyai wakil sama ada Pro–Aspirasi mahupun Pro-Mahasiswa.
“Kebanyakkan calon bertanding atas tiket individu,” katanya.
UTeM pula menyaksikan 19 kerusi fakulti dan tujuh kerusi peringkat umum dipertandingkan. Keputusan menunjukkan kesemua calon individu menang kali ini.
Di Universiti Utara Malaysia (UUM), sebanyak 22 calon telah menang tanpa bertanding, semalam. Ia menawarkan 36 kerusi iaitu 28 kerusi pusat pengajian dan lapan di peringkat umum.
Sebanyak 15 IPTA lain akan mengadakan pilihan raya kampus masing-masing Selasa ini selepas proses penamaan calon berlangsung semalam dan hari ini.
Universiti-universiti berkenaan ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan UUM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan