Oleh Masdar Wahid
SENTUL S: Seorang sukarelawan KEADILAN Parlimen Batu cedera dipukul empat individu tidak dikenali sekitar jam 2 pagi tadi ketika beliau sedang membetulkan sepanduk (banner) Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Batu yang bakal diadakan 25 Ogos ini.
Kejadian itu disahkan Rozan Azen Mat Rasip, pegawai khas kepada Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.
“Ketika sedang membetulkan salah satu banner (sepanduk) di Taman Dato Senu, Sentul, secara tiba-tiba empat lelaki tidak dikenali memakai topi keledar meluru dan memukul beliau sekitar 2 pagi tadi. Beliau cedera di bahagian kaki dan perut.
“Sebelum kejadian, saya berpesan kepada mangsa agar memantau banner jemputan Aidilfitri Tian Chua kepada umum pada 25 Ogos ini kerana banyak banner parti itu yang dipasang sebelum ini disabotaj termasuk hilang.
“Setakat ini sahaja maklumat yang saya perolehi dan saya akan menemui beliau malam ini,” katanya dihubungi Suara Keadilan.
Kesal dengan kejadian itu, Rozan menyifatkannya sebagai sabotaj terhadap program anjuran KEADILAN Batu dan bermotif politik kerana insiden sama pernah berlaku pada Ramadhan lalu.
“Sebanyak 30 banner jemputan raya dipasang seluruh Parlimen Batu dan setakat yang kita pantau dua daripadanya hilang dan beberapa lagi terjejas termasuk diturunkan walaupun pada masa sama banner berhampiran tiada gangguan,” katanya lagi.
Difahamkan, mangsa setakat ini enggan membuat laporan polis kerana takut berhadapan ancaman serupa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.