HALAMAN SANTAI

Sabtu, 4 Januari 2014

Zahid: Polis bertindak jika JAIS minta campurtangan

MALAYSIAKINI

Polis akan mengambil tindakan berhubung isu kalimah Allah di Selangor sekiranya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) meminta campurtangan polis dalam penguatkuasaan isu itu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
  
Beliau berkata ini kerana hal ehwal berkaitan agama Islam terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan polis amat menghormati bidang kuasa kerajaan negeri Selangor berkenaan isu tersebut.
  
"Namun seharusnya semua pihak tidak lagi memainkan isu sensitif seperti ini... mereka yang terlibat perlu patuhi titah Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) dan perintah mahkamah supaya tidak menggunakan kalimah Allah," katanya kepada pemberita di Alor Gajah hari ini.
  
Terdahulu beliau menghadiri majlis perkahwinan pegawai di kementeriannya, Azizul Hakim Abdul Aziz, 30, dan pasangan Nurfaraheeda Omar, 26, yang turut dihadiri Ketua Pergerakan Puteri Umno Mas Ermieyanti Samsuddin.
  
Pada 27 Disember lepas Pengarang Mingguan The Herald, Paderi Lawrence Andrew berkata gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan Bahasa Melayu walaupun JAIS telah menghantar notis peringatan mengenai larangan penggunaan kalimah itu oleh orang bukan Islam.
  
Ahmad Zahid turut menasihati semua pihak supaya tidak 'menyimbah minyak kepada api yang marak' dalam isu sensitif seperti itu dan tidak sama sekali merancang agenda jahat di sebalik isu kalimah Allah itu.

Sementara itu beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak sekali-kali menuduh polis lemah kerana tidak menggunakan gas pemedih mata dan meriam air dalam menangani Perhimpunan Guling Kerajaan di Kuala Lumpur pada Selasa lepas.
  
Sebaliknya, beliau berkata pendekatan polis antaranya menasihati peserta perhimpunan supaya beredar dan tidak menimbulkan kekacauan merupakan pendekatan terbaik pada masa itu untuk menangani perhimpunan yang mengganggu ketenteraman awam.
  
"Namun saya tegaskan di sini individu dan NGO (badan bukan kerajaan) yang menjadi dalang perhimpunan itu tidak akan terlepas daripada tindakan terutamanya mereka yang melanggar Akta Perhimpunan Aman," katanya.
  
Ahmad Zahid berkata penelitian awal mendapati tiada pemimpin politik utama atau parti politik daripada mana-mana pihak terlibat dalam penganjuran perhimpunan itu dan penglibatan anggota parti politik dalam perhimpunan itu adalah berdasarkan kapasiti individu dan NGO. - Bernama

Tiada ulasan: