HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 September 2014

PAS tak jadi letak calon di DUN Pengkalan Kubor

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic

 
 
 
KUALA LUMPUR: PAS tidak akan meletakkan calonnya di Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor kerana menghormati kerusi itu adalah milik PKR secara tradisinya.
 
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata parti itu juga tidak mengadakan sebarang perbincangan berhubung kerusi tersebut.
 
Sebelum ini PAS dikatakan 'berminat' untuk mendapatkan semula kerusi Pengkalan Kubor daripada PKR yang dipinjamkan sejak Pilihan Raya Umum ke 2008 lalu.
 
"Kami tidak bincang apa-apa mengenai PRK. Ia adalah kuota PKR berasaskan kepada semangat sebelum ini. 
 
"Jika kerusi ini dipertandingkan oleh sesuatu parti pada pilihan raya yang lalu, maka ia akan diteruskan (oleh parti itu)," katanya di sidang media PAS di ibu pejabatnya di Jalan Raja Laut, pagi tadi.
 
PAS baru-baru ini mempertikaikan hak PKR untuk bertanding di PRK Pengkalan Kubor yang sekaligus menambahkan lagi kekusutan dalam hubungan dua parti kompenan Pakatan Rakyat itu.
 
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali sebelum ini berkata walaupun PKR bertanding di kerusi itu pada PRU 13, tidak semestinya calon parti itu diletakkan kembali bagi pilihan raya kecil yang akan berlangsung tidak lama lagi.
 
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRK Pengkalan Kubor pada 25 September (Khamis) dengan menetapkan 13 September (Sabtu) untuk tarikh penamaan calon dan mengumumkan tempoh berkempen untuk PRK kali ini sebanyak 12 hari.
 
PAS dalam pada itu mengelak daripada diajukan senarai nama calon Menteri Besar Selangor yang baharu sebelum dihantar kepada Sultan Selangor pada esok hari ini.
 
Mahfuz sebaliknya mahu persoalan itu 'dijawab' oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah mengapa meminta calon lain selain Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
 
"Jika orang ramai tanya mengapa PAS hantar dua nama saya jawab kena tanya Sultan Selangor kenapa minta lebih dari satu nama.
 
"Ada orang kata Baginda minta lebih dari dua (nama)... lebih satu atau dua itu sama lah. (Atau) Kalau lebih dari satu boleh jadi dua dan tiga (nama)," katanya kepada pemberita.
 
Isu jawatan menteri besar di negeri ini menjadi duri dalam daging Pakatan Rakyat apabila PAS enggan menerima pencalonan Wan Azizah yang sama-sama dipersetujui PKR dan DAP.
 
Malah ia dikhabarkan akan menjadi topik hangat semasa Muktamar PAS kali ke-60 yang akan diadakan pada pertengahan bulan ini di batu Pahat, Johor.
 
Mahfuz juga tidak menolak sekiranya isu berkenaan menjadi pilihan perwakilan nanti dan bertegas PAS akan terus menjadi komponen di dalam Pakatan Rakyat.
 
"Tiada halangan. Apa yang nak dibahaskan oleh perwakilan terpulang kepada mereka. PAS bukan macam Umno untuk tentukan perkara apa yang boleh dibahaskan atau tidak," katanya.

Tiada ulasan: