Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: PAS tidak akan meletakkan calonnya di Pilihan Raya Kecil
(PRK) Pengkalan Kubor kerana menghormati kerusi itu adalah milik PKR
secara tradisinya.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata parti itu juga
tidak mengadakan sebarang perbincangan berhubung kerusi tersebut.
Sebelum ini PAS dikatakan 'berminat' untuk mendapatkan semula kerusi
Pengkalan Kubor daripada PKR yang dipinjamkan sejak Pilihan Raya Umum ke
2008 lalu.
"Kami tidak bincang apa-apa mengenai PRK. Ia adalah kuota PKR berasaskan kepada semangat sebelum ini.
"Jika kerusi ini dipertandingkan oleh sesuatu parti pada pilihan raya
yang lalu, maka ia akan diteruskan (oleh parti itu)," katanya di sidang
media PAS di ibu pejabatnya di Jalan Raja Laut, pagi tadi.
PAS baru-baru ini mempertikaikan hak PKR untuk bertanding di PRK
Pengkalan Kubor yang sekaligus menambahkan lagi kekusutan dalam hubungan
dua parti kompenan Pakatan Rakyat itu.
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali sebelum ini berkata walaupun PKR
bertanding di kerusi itu pada PRU 13, tidak semestinya calon parti itu
diletakkan kembali bagi pilihan raya kecil yang akan berlangsung tidak
lama lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRK Pengkalan Kubor
pada 25 September (Khamis) dengan menetapkan 13 September (Sabtu) untuk
tarikh penamaan calon dan mengumumkan tempoh berkempen untuk PRK kali
ini sebanyak 12 hari.
PAS dalam pada itu mengelak daripada diajukan senarai nama calon
Menteri Besar Selangor yang baharu sebelum dihantar kepada Sultan
Selangor pada esok hari ini.
Mahfuz sebaliknya mahu persoalan itu 'dijawab' oleh Sultan Sharafuddin
Idris Shah mengapa meminta calon lain selain Presiden PKR Datuk Seri Dr
Wan Azizah Wan Ismail.
"Jika orang ramai tanya mengapa PAS hantar dua nama saya jawab kena tanya Sultan Selangor kenapa minta lebih dari satu nama.
"Ada orang kata Baginda minta lebih dari dua (nama)... lebih satu atau
dua itu sama lah. (Atau) Kalau lebih dari satu boleh jadi dua dan tiga
(nama)," katanya kepada pemberita.
Isu jawatan menteri besar di negeri ini menjadi duri dalam daging
Pakatan Rakyat apabila PAS enggan menerima pencalonan Wan Azizah yang
sama-sama dipersetujui PKR dan DAP.
Malah ia dikhabarkan akan menjadi topik hangat semasa Muktamar PAS kali
ke-60 yang akan diadakan pada pertengahan bulan ini di batu Pahat,
Johor.
Mahfuz juga tidak menolak sekiranya isu berkenaan menjadi pilihan
perwakilan nanti dan bertegas PAS akan terus menjadi komponen di dalam
Pakatan Rakyat.
"Tiada halangan. Apa yang nak dibahaskan oleh perwakilan terpulang
kepada mereka. PAS bukan macam Umno untuk tentukan perkara apa yang
boleh dibahaskan atau tidak," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.