HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 September 2014

Penstrukturan semula MAS, jangan sampai jadi beban kerajaan - Penganalisis

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Walaupun hakikat bahawa Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) merupakan syarikat penerbangan kebangsaan yang menjadi salah satu identiti negara, namun tidak bermakna syarikat tersebut terus bergantung kepada kerajaan sekiranya dilanda kerugian. 
 
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, walaupun dengan suntikan dana bernilai RM6 billion oleh kerajaan baru-baru ini demi memulihkan MAS, namun kerajaan juga perlu memastikan ianya bukan sekadar 'bailout' atau penyelamatan semata.
 
Sebaliknya kata beliau, kerajaan perlu memastikan setiap dana yang disalurkan itu dibayar semula untuk membolehkan MAS mampu terus kekal sebagai syarikat berdaya maju.
 
"Kalau pinjaman dilakukan atau subsidi apa saja pinjaman tanpa faedah dilakukan kepada MAS itu, pastikan pinjaman itu dibayar balik.
 
"Jangan sampai kalau ikut sejarahnya, lazimnya akan berlaku 'bail out'.. yang mana kerajaan terpaksa tanggung hutang itu. Harus diingat, ia bukan duit kerajaan, ia duit rakyat. Kerajaan bertanggungjawab menyelaraskan isu itu," katanya kepada Antarapos.
 
Beberapa hari lalu, sayap utama pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) mengumumkan penyaluran RM6 bilion bagi tujuan penstrukturan semula dan dana pelaburan kepada MAS baharu.
 
Khazanah dalam pada itu juga mengumumkan 12 pelan pemulihan untuk menjenamakan kembali MAS sekali gus menjadikan syarikat penerbangan itu sebuah organisasi yang berdaya saing dan maju pada masa depan.
 
Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, daripada jumlah itu RM1.4 bilion adalah bagi tujuan penyenaraian semula MAS, RM1.6 bilion untuk penstrukturan semula dan kos pemberhentian MAS sedia ada (OldCo) serta RM3 bilion hanya untuk MAS baharu dalam tempoh tiga tahun.
 
Penyenaraian semula MAS sedia ada akan berakhir pada penghujung tahun ini manakala MAS baharu (NewCo) akan berkuat kuasa bermula 1 Julai 2015.
 
Dijangka dengan pelan pemulihan itu, MAS  akan memberi pulangan dalam tempoh tiga tahun selepas penyahsenaraiannya pada akhir 2017 dan disenaraikan semula berkemungkinan pada akhir 2019.
 
MAS juga akan mengurangkan 30 peratus kakitangan sedia ada, iaitu seramai 6,000 daripada 20,000 kakitangan pada masa kini.
 
Menerusi penstrukturan itu, ia menyaksikan Khazanah memiliki MAS sepenuhnya berbanding sebelum ini yang hanya memegang kepentingan syarikat penerbangan itu hampir 70 peratus. 
 
Mengulas berhubung Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pada syarikat baru MAS (NewCo) yang akan diwujudkan apabila ia berkuatkuasa pada 1 Julai 2015, Shaharuddin amat bersetuju jika ianya dipilih berdasarkan kelayakan seseorang itu yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang penerbangan. 
 
Katanya, kriteria tersebut amat penting dalam memacu MAS (NewCo) agar setanding dengan syarikat penerbangan terkemuka lain seperti Etihad, Emirates dan Qatar Airways.
 
"Jangan sampai kerugian demi kerugian berlaku, dan akhirnya kerajaan terus menanggung atau rakyat terus menanggung akan bebanan itu. Walaupun kita tahu ini penerbangan kebangsaan, identiti negara, tapi jangan sampai kerugian yang amat sangat," katanya.

Tiada ulasan: