Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Walaupun hakikat bahawa Sistem Penerbangan Malaysia (MAS)
merupakan syarikat penerbangan kebangsaan yang menjadi salah satu
identiti negara, namun tidak bermakna syarikat tersebut terus bergantung
kepada kerajaan sekiranya dilanda kerugian.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin berkata,
walaupun dengan suntikan dana bernilai RM6 billion oleh kerajaan
baru-baru ini demi memulihkan MAS, namun kerajaan juga perlu memastikan
ianya bukan sekadar 'bailout' atau penyelamatan semata.
Sebaliknya kata beliau, kerajaan perlu memastikan setiap dana yang
disalurkan itu dibayar semula untuk membolehkan MAS mampu terus kekal
sebagai syarikat berdaya maju.
"Kalau pinjaman dilakukan atau subsidi apa saja pinjaman tanpa faedah
dilakukan kepada MAS itu, pastikan pinjaman itu dibayar balik.
"Jangan sampai kalau ikut sejarahnya, lazimnya akan berlaku 'bail
out'.. yang mana kerajaan terpaksa tanggung hutang itu. Harus diingat,
ia bukan duit kerajaan, ia duit rakyat. Kerajaan bertanggungjawab
menyelaraskan isu itu," katanya kepada Antarapos.
Beberapa hari lalu, sayap utama pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional
Berhad (Khazanah) mengumumkan penyaluran RM6 bilion bagi tujuan
penstrukturan semula dan dana pelaburan kepada MAS baharu.
Khazanah dalam pada itu juga mengumumkan 12 pelan pemulihan untuk
menjenamakan kembali MAS sekali gus menjadikan syarikat penerbangan itu
sebuah organisasi yang berdaya saing dan maju pada masa depan.
Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, daripada jumlah itu
RM1.4 bilion adalah bagi tujuan penyenaraian semula MAS, RM1.6 bilion
untuk penstrukturan semula dan kos pemberhentian MAS sedia ada (OldCo)
serta RM3 bilion hanya untuk MAS baharu dalam tempoh tiga tahun.
Penyenaraian semula MAS sedia ada akan berakhir pada penghujung tahun
ini manakala MAS baharu (NewCo) akan berkuat kuasa bermula 1 Julai 2015.
Dijangka dengan pelan pemulihan itu, MAS akan memberi pulangan dalam
tempoh tiga tahun selepas penyahsenaraiannya pada akhir 2017 dan
disenaraikan semula berkemungkinan pada akhir 2019.
MAS juga akan mengurangkan 30 peratus kakitangan sedia ada, iaitu seramai 6,000 daripada 20,000 kakitangan pada masa kini.
Menerusi penstrukturan itu, ia menyaksikan Khazanah memiliki MAS
sepenuhnya berbanding sebelum ini yang hanya memegang kepentingan
syarikat penerbangan itu hampir 70 peratus.
Mengulas berhubung Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pada syarikat baru MAS
(NewCo) yang akan diwujudkan apabila ia berkuatkuasa pada 1 Julai 2015,
Shaharuddin amat bersetuju jika ianya dipilih berdasarkan kelayakan
seseorang itu yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang penerbangan.
Katanya, kriteria tersebut amat penting dalam memacu MAS (NewCo) agar
setanding dengan syarikat penerbangan terkemuka lain seperti Etihad,
Emirates dan Qatar Airways.
"Jangan sampai kerugian demi kerugian berlaku, dan akhirnya kerajaan
terus menanggung atau rakyat terus menanggung akan bebanan itu. Walaupun
kita tahu ini penerbangan kebangsaan, identiti negara, tapi jangan
sampai kerugian yang amat sangat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.