Usul
persendirian Pas mengenai hudud di Parlimen benar-benar menjadikan
parti itu bersendirian akhirnya. Setelah DAP secara terbuka menyatakan
tidak akan menyokongnya, PKR pula semalam turut menyatakan pendirian
yang sama.
Bagi
PKR, tindakan mereka tidak menyokong usul itu ialah kerana berpendapat
Pas membuat keputusan secara unilateral atau sebelah pihak tanpa
memberitahu rakan-rakan dalam PR terlebih dahulu dan juga disebabkan ia
bercanggah dengan keputusan Majlis Pimpinan PR pada 8 Februari lalu.
Lebih
dari itu, tindakan Presiden Pas, Haji Hadi Awang menghantar notis
kepada Setiausaha Parlimen berkaitan pembentangan usul persendirian itu
juga dianggap tindakannya secara bersendirian.
Ini
kerana beberapa pemimpin Pas yang ditanya mengenai notis tersebut
seperti Setiausaha Agung, Mustafa Ali dan Ketua Penerangan, Mahfuz Omar,
turut menyatakan tidak tahu menahu mengenainya.
Tanpa
sokongan PKR dan DAP, jika Pas meneruskan juga membawa usul berkenaan
hudud itu di Parlimen, ia hanya disokong oleh 21 Ahli Parlimen daripada
parti itu saja.
Oleh
kerana pembentangan enakmen pindaan hudud di Dun Kelantan minggu lalu
mendapat sokongan daripada UMNO, Pas mungkin mengharapkan semua 88 Ahli
Parlimen UMNO akan menyokongnya dalam usul persendirian nanti.
Tetapi
mengharapkan sokongan UMNO dalam usul hudud ini mungkin umpama impian
menyentuh bintang di langit atau seperti harapan mengggunung ingin
berjumpa bidadari dari kayangan saja.
Ia boleh dianggap sesuatu yang mustahil.
Selain
sejarah membuktikan UMNO lebih selesa dengan undang-undang sekular,
Najib Razak sendiri pernah mengungkapkan penegasan tidak akan
melaksanakan hudud di negara ini. Dalam pada itu, UMNO juga terkepung
dengan penolakan rakan-rakan dalam BN seperti MCA, Gerakan serta
komponen Sabah dan Sarawak terhadap hukum itu.
Sukar
untuk membayangkan UMNO sanggup menyokong usul persendirian hudud yang
bakal dibawa Haji Hadi nanti dan dalam masa yang sama menyebabkannya
berhadapan risiko ditinggalkan oleh MCA, Gerakan dan komponen di Sabah
dan Sarawak yang merupakan antara penyumbang kekalnya kuasa BN itu
sendiri.
Lebih
ramai yang percaya tindakan "main mata" UMNO terhadap Pas dalam isu
hudud ini, termasuk sokongan di Dun Kelantan baru-baru ini, lebih
bertujuan untuk memecah-belahkan PR semata-mata.
Dan
kalau pun Najib atau UMNO tiba-tiba "hilang akal" dan mahu menyokong
usul hudud di Parlimen itu nanti, ia juga tidak mencukupi untuk
memperolehi majoriti iaitu hanya menjadikan perolehan kepada 109 undian
saja (88 UMNO + 21 Pas).
Berdasarkan jumlah Ahli Parlimen seramai 222 orang, majoriti mudah sekurang-kurangnya memerlukan sokongan 112 Ahli Parlimen.
Dalam
keadaan ini, usul persendirian Pas mengenai hudud ini sebenarnya tidak
bermakna langsung jika diteruskan juga pembentangannya. Ia sama ada
menjadikan Pas hanya mampu memperolehi 21 undi atau 109 undi saja.
Kedua-duanya
bermakna suatu tindakan "bunuh diri" atau umpama melompat keluar dari
kapal terbang tanpa menggunakan payung terjun.
Tindakan
terbaik bagi Pas sekarang ialah kembali kepada realiti yang ada di
depan mereka. Parti itu seharusnya menarik balik notis dan menangguhkan
hasrat mahu membentangkan usul persendirian itu di Parlimen.
Tidak
guna meneruskan usul persendirian yang sudah bertukar menjadi tindakan
bersendirian itu kerana ia jelas tidak boleh membawa kemenangan, bahkan
risiko perpecahan dalam PR dan penolakan rakyat juga lebih besar
kerananya.
Dengan
menangguhkan usul itu, Pas boleh memulihkan semula hubungannya dalam PR
dan kembali berganding tangan untuk menghadapi cabaran masa depan
secara bersama dengan PKR dan DAP. Ini lebih merupakan perjuangan boleh
menang bagi Pas berbanding meneruskan agenda hudud yang sudah pasti akan
kecundang.
Pas
boleh meneruskan semula hudud di Kelantan setelah PR memperolehi kuasa
dalam pilihanraya akan datang dengan cara meyakinkan rakan-rakan dalam
gabungan itu terlebih dahulu mengenai kebaikan dan kelebihan
undang-undang Tuhan tersebut.
Belum terlambat sebenarnya untuk Pas kembali ke pangkal jalan setelah "terlena" dan "tersesat" seketika.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan