HALAMAN SANTAI

Sabtu, 9 Mei 2015

Gagal muktamadkan perjanjian air, Charles dakwa Selangor jadi mangsa

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Penyelaras Badan Membantah Penswastaan Air (CAWP), Charles Santiago menyifatkan kerajaan negeri sekali lagi menjadi mangsa dalam isu penstrukturan semula industri air di Selangor.
 
Dihubungi Antarapos, beliau mendakwa kerajaan Persekutuan melanggari beberapa syarat yang ditetapkan di dalam Perjanjian Induk sebelum ini sehingga menyukarkan kerajaan negeri mencapai keputusan.
 
"Masalah timbul daripada rancangan kerajaan persekutuan untuk mengambil tanah negeri. Jadi, kerajaan negeri perlu diberi masa yang cukup untuk memuktamadkan perbincangan bersama pihak-pihak yang berkenaan.
 
"Isu-isu yang dibangkitkan oleh kerajaan persekutuan yang di luar dari perjanjian yang dimuktamadkan pada tahun lalu. Masalah di sini bukan kerajaan negeri, sebab kerajaan negeri menjadi mangsa. Ia disebabkan oleh kerajaan Persekutuan kerana apa yang dipersetujui pada tahun lalu tidak dikotakan," katanya.
 
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili hari ini berkata kerajaan persekutuan menyerahkan hala tuju penstrukturan semula industri air Selangor kepada kerajaan negeri selepas Perjanjian Induk gagal dimuktamadkan sehingga 30 April lepas.
 
Beliau sudahpun menulis surat kepada Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali pada tarikh tersebut untuk memaklumkan kegagalan kerajaan negeri dan terpulang kepadanya untuk menyelesaikan isu pemindahan aset air dan pengambilalihan penuh pemegang konsesi air Selangor seperti yang terkandung dalam perjanjian.
 
Charles dalam pada itu memberitahu akan mengadakan perbincangan bersama Azmin dalam masa terdekat sebelum tindakan susulan diambil selepas ini.
 
"Saya akan berbincang dengan Azmin untuk mengetahui perkembangan dari mesyuarat-mesyuarat terdahulu. Juga mendapatkan pandangan daripada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) sebagai perunding antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat," ujar Ahli Parlimen Klang itu.
 
Azmin sebelum ini memberitahu telah memberi maklum balas terhadap surat kementerian terbabit sekitar awal April lalu dan menunggu tarikh pertemuan bersama Maximus untuk membincangkan beberapa perkara di dalam Perjanjian Induk itu.
 
Bagaimanapun kenyataan terbaharu daripada Maximus hari ini menimbulkan persoalan sama ada Azmin benar-benar memberi maklum balas terhadap surat kementerian terbabit yang bertarikh 12 Mac itu.
 
Memetik kandungan surat tersebut, sekiranya kerajaan negeri gagal memberi jawapan terhadap lanjutan tarikh akhir Perjanjian Induk penstruktran semula air negeri, Kerajaan Persekutuan akan menganggap bahawa kerajaan Selangor tidak berminat menerima tawaran mengenai langkah penyusunan semula itu dan pengambilalihan penuh pemegang konsesi di Selangor seperti yang terkandung dalam Perjanjian Induk

Tiada ulasan: