PUTRAJAYA: Kerajaan persekutuan menyerahkan hala tuju penstrukturan
semula industri bekalan air Selangor kepada kerajaan negeri selepas
Perjanjian Induk gagal dimuktamadkan pada 30 April lepas, kata Menteri
Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
Katanya beliau telah menulis surat kepada Menteri Besar Selangor
Mohamed Azmin Ali pada 30 April mengenai perkara itu dan terpulang
kepadanya untuk menyelesaikan isu pemindahan aset air dan
pengambilalihan penuh pemegang konsesi air Selangor seperti yang
terkandung dalam perjanjian.
Bagaimanapun, katanya kerajaan persekutuan akan terus komited untuk
memuktamadkan penstrukturan semula itu bagi memastikan jaminan bekalan
air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Nampaknya, masih ada kekangan di peringkat kerajaan Selangor jadi
dalam surat itu saya kata terpulang kepada beliau untuk selesaikan.
"Kami telah memenuhi bahagian kami dan sekarang adalah masa bagi
Selangor menjalankan bahagian mereka pula, tetapi bagi pihak (kerajaan)
pusat kami masih belum tutup pintu," katanya kepada pemberita selepas
menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 63 kakitangan
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), di sini Jumaat.
Ongkili sebelum ini berkata kerajaan Selangor diberi masa hingga 30
April untuk memberi jawapan mengenai Perjanjian Induk itu selepas
ditangguhkan beberapa kali daripada tarikh akhir pada 12 Januari lepas,
susulan isu pemindahan dua aset air di Bukit Nanas dan Semenyih kepada
Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
Katanya kerajaan persekutuan bersedia menyerahkan peruntukan RM2 bilion
untuk membantu kerajaan negeri mengambil alih ekuiti syarikat konsesi
air sekiranya kerajaan negeri dapat menyediakan aset lain yang mempunyai
nilai mencukupi bagi menggantikan dua aset terbabit.
Menurutnya dalam mesyuarat antara pegawai kedua-dua pihak, kerajaan
Selangor mengenal pasti empat aset air lain yang boleh dipindah milik
namun masih tidak dapat dimuktamadkan.
"Empat aset air itu saya tidak boleh namakan lagi sebab masih dalam
peringkat perbincangan, tetapi mereka nampaknya masih belum bersedia
untuk melepaskan aset-aset itu," katanya.
Beliau berkata kerajaan Selangor terus mendakwa bahawa tanah tempat
terletaknya loji Bukit Nanas dan loji Semenyih adalah milik Selangor,
tetapi dari segi undang-undang, perkara itu tidak berasas.
Sementara itu, Ongkili berkata projek Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2)
dan sistem agihannya akan diteruskan dan kerajaan persekutuan akan
mempertimbang tindakan undang-undang jika kerajaan Selangor terus
menangguhkan pengeluaran permit yang diperlukan untuk projek itu.
Katanya kerajaan persekutuan akan mempertahankan 'heads of agreement'
(HoA) yang telah ditandatangani kedua-dua pihak mengenai projek itu
kerana ia tidak tertakluk kepada Perjanjian Induk.
"Jika ada halangan tertentu kami akan ambil tindakan mungkin di bawah
Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan kepentingan dan
kebajikan rakyat dapat dilindungi, tetapi setakat ini belum sampai tahap
itu.
"Ada beberapa permit yang kami masih belum dapat dan ada tanah yang
masih diperlukan dan kami harap mereka hormati HoA itu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan