HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Mei 2015

Mahfuz selar tindakan Guan Eng serang Hadi lagi

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar, menyelar tindakan Lim Guan Eng yang sering melakukan serangan terhadap Presiden PAS.
 
Kali ini Setiausaha Agung DAP itu mengatakan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai penghalang utama membentuk kabinet bayangan Pakatan Rakyat.
 
"Sebagai pemimpin utama di dalam parti demokratik, tidak sewajarnya beliau meneruskan serangan peribadi kepada pemimpin tertinggi parti rakan dalam Pakatan Rakyat," kata Mahfuz dalam satu kenyataan hari ini.
 
Malah Mahfuz turut menyindir Guan Eng yang tidak merujuk kepada Ketua Penerangannya Anthony Loke Siew Fook mengenai kabinet bayangan "sebelum begitu sibuk menyerang orang lain".
 
Sehubungan itu, Mahfuz berharap Guan Eng dan barisan kepimpinan Pakatan berhenti mengeluarkan kenyataan yang menyerang antara satu sama lain.
 
Tindakan itu, katanya, bukan sahaja akan mengeruhkan lagi ikatan hubungan Pakatan, bahkan akan memeningkan kepala rakyat yang begitu berharap wujud kerajaan baru pengganti BN-Umno selepas PRU14.
 
"Semua pimpinan Pakatan perlu kembali ke meja rundingan untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dengan suasana damai dan harmoni," tambahnya.
 
Malah ujarnya kesemua ketua penerangan dalam Pakatan sudah bermesyuarat bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan berjaya mencapai kata sepakat.
 
"... iaitu isu kabinet bayangan Pakatan tidak berbangkit atas faktor keutamaan perlu diberikan kepada proses mereformasikan institusi Parlimen.
 
"Setiap parti akan menghantar dua orang wakil untuk menyertai jawatankuasa tersebut.
 
"Ahli Parlimen Pakatan turut menubuhkan jawatankuasa untuk menilai,mengkaji dan menganalisa Rancangan Malaysia ke-11 yang akan dibentangkan oleh PM Najib Khamis ini," tegasnya.
 
Menurut Mahfuz, PAS juga sudah membahagikan kesemua 21 ahli Parlimennya mengikut portfolio kementerian supaya dapat dipantau isu berkaitan dengan lebih dekat.
 
"Semoga dengan tertubuhnya Jawatankuasa Reformasi Parlimen oleh Pakatan Rakyat akan menjadi medium yang terbaik untuk menambahbaik peranan institusi Parlimen Malaysia agar lebih bebas, efektif dan dihormati," katanya.  
 
 

Tiada ulasan: