SHAH ALAM: Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar, menyelar tindakan
Lim Guan Eng yang sering melakukan serangan terhadap Presiden PAS.
Kali ini Setiausaha Agung DAP itu mengatakan Datuk Seri Abdul Hadi
Awang sebagai penghalang utama membentuk kabinet bayangan Pakatan
Rakyat.
"Sebagai pemimpin utama di dalam parti demokratik, tidak sewajarnya
beliau meneruskan serangan peribadi kepada pemimpin tertinggi parti
rakan dalam Pakatan Rakyat," kata Mahfuz dalam satu kenyataan hari ini.
Malah Mahfuz turut menyindir Guan Eng yang tidak merujuk kepada Ketua
Penerangannya Anthony Loke Siew Fook mengenai kabinet bayangan "sebelum
begitu sibuk menyerang orang lain".
Sehubungan itu, Mahfuz berharap Guan Eng dan barisan kepimpinan Pakatan
berhenti mengeluarkan kenyataan yang menyerang antara satu sama lain.
Tindakan itu, katanya, bukan sahaja akan mengeruhkan lagi ikatan
hubungan Pakatan, bahkan akan memeningkan kepala rakyat yang begitu
berharap wujud kerajaan baru pengganti BN-Umno selepas PRU14.
"Semua pimpinan Pakatan perlu kembali ke meja rundingan untuk
menyelesaikan masalah yang berlaku dengan suasana damai dan harmoni,"
tambahnya.
Malah ujarnya kesemua ketua penerangan dalam Pakatan sudah bermesyuarat
bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan berjaya
mencapai kata sepakat.
"... iaitu isu kabinet bayangan Pakatan tidak berbangkit atas faktor
keutamaan perlu diberikan kepada proses mereformasikan institusi
Parlimen.
"Setiap parti akan menghantar dua orang wakil untuk menyertai jawatankuasa tersebut.
"Ahli Parlimen Pakatan turut menubuhkan jawatankuasa untuk
menilai,mengkaji dan menganalisa Rancangan Malaysia ke-11 yang akan
dibentangkan oleh PM Najib Khamis ini," tegasnya.
Menurut Mahfuz, PAS juga sudah membahagikan kesemua 21 ahli Parlimennya
mengikut portfolio kementerian supaya dapat dipantau isu berkaitan
dengan lebih dekat.
"Semoga dengan tertubuhnya Jawatankuasa Reformasi Parlimen oleh Pakatan
Rakyat akan menjadi medium yang terbaik untuk menambahbaik peranan
institusi Parlimen Malaysia agar lebih bebas, efektif dan dihormati,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.