KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara berkata tiada sebarang unsur penganiayaan
dan kesan luka lain pada mana-mana bahagian badan seorang banduan yang
didapati menggantung diri di Penjara Kluang, pada 22 Mei lepas.
Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan Ibu Pejabat Penjara Malaysia Supri
Hashim berkata pemeriksaan koroner dan laporan siasatan Ibu Pejabat
Penjara ke atas mayat mendapati hanya kesan lebam pada leher si mati.
"Seterusnya, hasil bedah siasat menunjukkan kematian adalah disebabkan
gantung diri," katanya dalam kenyataan media mengulas laporan beberapa
akhbar harian berbahasa Tamil berhubung kejadian itu, baru-baru ini.
Dalam kejadian pada jam 10.25 malam itu, seorang anggota penjara yang
membuat rondaan mendapati banduan berkenaan telah menggantung diri
menggunakan pakaian yang dibekalkan, di jerejak lubang angin sel
penempatannya.
Supri berkata tindakan segera diambil untuk menyelamatkan banduan
dengan menurunkannya dan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan dan
rawatan, bagaimanapun, banduan itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai
perubatan Hospital Kluang.
Beliau berkata pengurusan Penjara Kluang telah menjalankan prosedur
penjara yang ditetapkan selain tindakan membuat laporan polis,
memaklumkan keluarga, memastikan kehadiran koroner dan menjalankan
siasatan.
Sementara itu, mengenai kemudahan rawatan kesihatan Datuk Seri Anwar
Ibrahim di Penjara Sungai Buloh, beliau berkata berasaskan prosedur
penjara, semua banduan akan diperiksa kesihatan oleh pegawai perubatan
semasa kemasukan dan dari semasa ke semasa jika keadaan memerlukan.
"Seterusnya, bagi banduan yang memerlukan rawatan lanjut di hospital
luar penjara termasuk rawatan dari pakar akan segera dirujuk oleh
pegawai berkenaan," katanya.
Supri berkata, sejak menjalani hukuman penjara mulai 10 Februari
sehingga 29 Mei lepas Anwar telah diperiksa oleh Panel Pakar Perubatan
dari Hospital Kuala Lumpur.
"Manakala bagi pemeriksaan harian, ia dilaksanakan oleh Pegawai
Perubatan Penjara Sungai Buloh. Keadaan kesihatan semasa beliau adalah
stabil," katanya.
Menurutnya, Jabatan Penjara tidak pernah menghalang seseorang banduan
untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital setelah disyorkan atau
diarahkan oleh pegawai perubatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.