Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang, Abd Aziz Abd Rahman berkata ramai yang masih memilih untuk membuang bayi ke dalam tong sampah, mangkuk tandas, longkang atau tandas walaupun "baby hatch" disediakan.
"Membuang bayi merupakan cara yang paling mudah oleh pasangan yang berzina dan hamil sebelum nikah dalam kehidupan moden ini tetapi mereka tidak boleh membuang bayi di kawasan yang menjijikkan.
"Ramai yang masih tidak mengetahui tentang 'bayi hatch' yang disediakan dan disebabkan fobia serta panik, mereka membuang bayi ke dalam tong sampah. Tujuan sebenar penyediaan 'baby hatch' ini adalah untuk membantu menyelamatkan nyawa bayi," katanya kepada pemberita semalam.
Menurut Aziz, "baby hatch" dibuka di KPJ Pulau Pinang tahun lepas dan setakat ini belum ada yang meninggalkan bayi di situ, mungkin tidak mengetahui mengenai kemudahan yang disediakan itu.
Katanya perbuatan meninggalkan bayi di "baby hatch" bukan kesalahan jenayah.
Justeru, beliau berharap bayi baru dilahirkan pasangan luar nikah itu boleh ditinggalkan dalam keadaan selamat, sekaligus menyelamatkan nyawa mereka yang tidak diminta dilahirkan namun mempunyai hak untuk hidup.
Pada masa ini, 9 cawangan KPJ menyediakan "baby hatch" daripada 26 rangkaiannya iaitu di KPJ Tawakkal (Kuala Lumpur), KPJ Seremban, KPJ Ipoh, KPJ Johor, KPJ Kuantan, KPJ Pulau Pinang, KPJ Perdana (Kota Baru), KPJ@Damai (Kota Kinabalu) dan KPJ Kuching.
Aziz berkata 7 bayi diselamatkan melalui "baby hatch" di 9 hospital KPJ sejak kemudahan itu dilancarkan pada 2010 oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Yayasan OrphanCARE.
Beliau berkata KPJ mengamalkan prosedur operasi standard menguruskan peti pelindung bayi hasil kerjasama dengan OrphanCARE termasuk membuat laporan polis dalam masa 24 jam selepas laporan mengenai insiden dibuat kepada OrphanCARE.
Aziz berkata bayi kemudian diserahkan kepada polis, OrphanCARE dan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat dan seterusnya dijadikan anak angkat. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan