ALOR SETAR: Indeks Pencemaran Udara (IPU) di dua daerah di negeri ini
iaitu di Kota Setar dan Sungai Petani, menunjukkan bacaan tidak sihat
pagi ini.
Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata IPU di
pusat pemantauan Alor Setar sekitar jam 7 pagi direkod menunjukkan
bacaan 122, manakala di Bakar Arang, Sungai Petani pula 108.
Justeru, beliau meminta orang ramai supaya mengurangkan aktiviti
fizikal di luar rumah terutama jika kadar bacaan IPU direkodkan antara
100 hingga 200 yang menunjukkan tahap kualiti udara yang tidak sihat.
"Kita minta orang ramai sentiasa berada dalam bangunan, memakai penutup
hidung dan mulut yang sesuai ketika keluar rumah, selain memastikan
udara di dalam rumah atau bangunan sentiasa bersih dengan mengurangkan
sumber pencemaran dalaman seperti asap rokok.
"Selain itu, pemandu kenderaan dinasihat menggunakan pendingin hawa dengan memilih operasi (mode) kitaran udara dalaman.
Orang ramai juga dinasihat minum banyak air kosong sekurang-kurangnya
lapan gelas sehari, selain sentiasa mencuci tangan dan muka dengan sabun
serta air bersih selepas melakukan aktiviti luar," katanya dalam satu
kenyataan di sini.
Dr Norhizan berkata, mereka yang mengalami gejala dan tanda seperti
batuk, selsema, asma, sakit mata dan jangkitan paru-paru perlu segera
mendapatkan rawatan di klinik berhampiran untuk mengelakkan keadaan
bertambah teruk.
Orang ramai perlu sentiasa peka terhadap perkembangan semasa tahap
jerebu melalui media dan mematuhi nasihat dari Jabatan Kesihatan untuk
memastikan kesan jerebu terhadap kesihatan.
"Segala pembakaran terbuka tidak digalakkan kerana ia akan memburukkan
lagi tahap jerebu dan pihak kami sudah mengambil pelbagai langkah
termasuk menyediakan topeng hidung dan mulut yang mencukupi kepada
pesakit yang mempunyai risiko tinggi terhadap kesan jerebu.
"Semua klinik kesihatan di negeri ini juga bersiap sedia menghadapi
sebarang kemungkinan peningkatan kes jerebu supaya tidak menjejaskan
perkhidmatan di setiap klinik berkenaan," katanya.
Sementara itu, Dr Norhizan berkata pihaknya turut membatalkan Program
Gegar 10,000 langkah sempena Merdeka di beberapa daerah yang dijadualkan
berlangsung Sabtu ini untuk mengelakkan orang ramai terdedah dengan
bahaya jerebu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan