KUALA LUMPUR, Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar yakin parti Islam itu adalah bahtera yang boleh membawa ahli-ahlinya ke destinasi terakhir, kerana PAS istiqamah menentang kezaliman dan sepakat bahawa Islam itu ‘Rahmatan lil Alamin’.


“Jika kalian kata PAS lemah kerana dipimpin manusia lemah, kalian pergilah kepada manusia yang tiada kelemahan, kerana perjuangan itu dakwah berterusan, sama ada menang atau kalah dalam pilihan raya.

“Kerana itu, saya kekal dengan PAS yang tegar dengan dasar Islam dan hasratnya. Tiada jalan pintas, melainkan kita mesti melalui jalan yang telah dilalui oleh Rasulullah S.A.W.

“Kalau kalian tidak berjumpa apa yang dihajati, kembalilah kerana pintu PAS sentiasa terbuka luas untuk dimasuki.

“Islam itu sentiasa tegas dengan kelembutan. Pesan saya yang lemah untuk abang-abang dan adik-adik saya yang telah melangkah meninggalkan PAS, pastikan yang baru itu lebih baik dari yang lama,” katanya yang dipetik harakahdaily.net.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Lumpur itu berkata, beliau sedih melihat rakannya meninggalkan parti berkenaan, tetapi beliau gembira untuk kekal di dalam PAS.

“Saya hanya boleh menghantar ke pintu sahaja, hanya melihat mereka melangkah. Tidak munasabah saya tinggalkan PAS yang telah puluhan tahun saya berada di dalamnya, kerana semuanya ada di sini. Rasanya tiada sesuatu pun yang tidak ada di dalam PAS.

“PAS ada semuanya yang saya idamkan dan perlukan dalam kehidupan saya sebagai seorang Muslim. Semuanya mencukupi dan saya sangat tenang dan gembira berada di dalamnya.

“PAS telah mengajar kalian bahawa kita berjuang untuk runtuhkan kezaliman dan gantikan dengan keadilan, bukan digantikan dengan sesuatu yang hampir sama. Tiadalah keadilan, melainkan sesuatu yang diturunkan Allah S.W.T yang pasti akan membela seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama,” katanya.