HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 September 2015

Penyokong, TMJ sindir Harimau Malaya selepas kalah 10-0



Pemain UAE menyambut kemenangan mereka selepas membelasah Harimau Malaya 10-0 di Stadium Mohammed Bin Zayed, Abu Dhabi, semalam. – Gambar AFP, 4 September, 2015.Pemain UAE menyambut kemenangan mereka selepas membelasah Harimau Malaya 10-0 di Stadium Mohammed Bin Zayed, Abu Dhabi, semalam. – Gambar AFP. 
 
 
Kekalahan skuad bola sepak Harimau Malaya menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2019 semalam mendapat kritikan hebat pengguna media sosial termasuk Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pengerusi kelab bola sepak Johor Darul Taazim (JDT) itu meluahkan reaksi kecewanya dengan cara permainan skuad kebangsaan, dengan berkata "sudah terlambat" kerana sepatutnya perubahan dilakukan dalam pasukan bola sepak negara.

"7-0 untuk separuh masa pertama. Ianya merupakan satu peluang pemilihan untuk mengubah kedudukan bola sepak Malaysia, tetapi ianya sudah terlambat.

"Kalau kepala tak betul, ekor pun tak betul " katanya melalui laman Facebook Johor Southern Tigers. 
Malaysia semalam tewas 10-0 kepada UAE pada aksi ketiga pusingan kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Mohammed Bin Zayed, Abu Dhabi.
 
Kekalahan itu turut mengundang kritikan dan sindirian penyokong bola sepak tempatan di laman sosial yang menyalahkan cara pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai punca kegagalan Harimau Malaya.
 
Malah laman rasmi Facebook FAM dibanjiri reaksi kemarahan penyokong bola sepak tempatan.
 
Seorang pengguna Facebook Jefrrery Dahm yang membalas entri FAM bagi laporan perlawanan UAE lawan Malaysia berkata: "Pemain tidak bagus... tambah jurulatih macam sekolah punya... mana tak... harap suara je besar... perut boncet... takde makna untuk Malaysia... dah kalah nak letak jawatan... pastu cari lagi jurulatih... jurulatih Malaysia nak nama pun... bangang."
 
Ezadin Md Hanafiah pula berkata: "10-0 bhai, bukan calang-calang result (keputusan). Tak taulah nak gelak ke nak nangis ke nak terajang ke. Masih bingung. Bukan nak hina. Tapi tahap dewa punya bolos".
 
Sementara Zuharman Man pula berkata: "Nampaknya player hanya mampu bermain liga dalam Malaysia ja... jurulatih tak mampu... sebab jurulatih pun orang Malaysia, walaupun bekas pemain bola negara. Dia bermain baik untuk negara tapi tak pasti dapat melatih pasukan negara dengan baik".
 
Ramai pengguna media sosial menyokong kenyataan Tunku Ismail, antaranya Zack Jackie yang membalas entri tersebut berkata: "Nasi dah jadi bubur, sekali lagi Malaysia dimalukan serata dunia gara-gara FAM, Food Ball Animation Malaysia."
 
Manakala Mohamad Huzaireen Zoraima pula memberi komen: "Tunggu statement orang atas FAM lah... hari tu dia berjanji, tunggu dan lihatlah janji ditepati atau dicapati... hahaha."
 
Azmi Samuri berkata: "Saya setuju dengan TMJ... 10-0 amat-amat memalukan negara."
 
Bersetuju dengan Tunku Ismail, Prakash Lachmanan berkata: "Memang tepat pandangan TMJ tapi walaupun kalah seteruk mana pun FAM tidak akan malu dan tetap berbangga dengan pendekatan mereka. 
 
Kita dulu gergasi Asia tapi sekarang dibelasah dua digit, Harimau Malaya sudah jadi kucing Malaya."
 
Ini bukan pertama kali FAM dikritik hebat ekoran prestasi merundum pasukan bola sepak kebangsaan.
 
Malah Tunku Ismail membuat kejutan melepaskan jawatan sebagai penasihat FAM pada Februari lepas kerana pendiriannya yang enggan berkerjasama dengan organisasi tidak adil.
 
Menurutnya, beliau mengimpikan badan pentadbir bola sepak tempatan yang dikendalikan golongan berdedikasi, profesional dan berpengetahuan tentang sukan itu, bukannya ditadbir pihak yang mempunyai kepentingan peribadi serta mengejar modal politik.


Tiada ulasan: