PETALING JAYA: Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) supaya mencari penyelesaian segera isu Uber dan Grabcar yang dilihat menjejaskan periuk nasi pemandu teksi di negara ini.
Timbalan presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, permintaan untuk mengharamkan aplikasi Uber dan Grabcar mungkin terlalu drastic tetapi rintihan pemandu teksi juga tidak boleh dipandang remeh.
"SPAD perlu mengangani isu ini bagi memastikan bahawa supaya luahan pemandu teksi ini diberikan perhatian dengan memastikan perkhidmatan Uber dan Grabteksi perlu dikawal selia," katanya kepada Antarapos.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai demonstrasi aman pemandu teksi di ibu negara pada 18 November lalu bagi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap aplikasi Uber dan Grabcar yang didakwa menjejaskan pendapatan pemandu teksi.
"Saya tidak nampak ia perlu diharamkan aplikasi tersebut. Aplikasi itu ialah yang memudahkan dari segi teknologi. Mungkin pemandu teksi pun perlu menggunakan perkhidmatan seperti ini, cuma sekarang pihak Uber dan Grabteksi menggunakan pengangkutan yang tidak dilesenkan.
"Mungkin itu yang dirasakan oleh pemandu teksi. Kalau pemandu teksi ubah dari segi perkhidmatan mereka saya rasa tidak ada masalah dan pihak Uber dan Grabteksi tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan sistem tambang tersendiri," jelas Mohd Yusof.
Katanya, pemilik teksi di negara ini perlu melihat kewujudan perkhidmatan itu sebagai satu saingan untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik.
Katanya, masyarakat kini mahukan satu perkhidmatan lain yang lebih selesa, murah dan mesra pengguna yang kurang terdapat dalam perkhidmatan teksi kini.
“Bagi FOMCA, persaingan itu adalah sesuatu yang baik. Cuma bagaimana pihak kerajaan dalam memastikan persaingan itu wujud dalam suasana yang sama. Kita tidak mahu satu perkhidmatan yang dikawal selia dan satu lagi yang tidak dikawal selia oleh kerajaan.
"Mereka tidak dikawal selia mungkin kos lebih rendah sedangkan pihak pemandu teksi perlu melalui pelbagai prosedur dan sebagainya menyebabkan kos mereka tinggi. Itu tidak adil," katanya.
Pada 18 November lalu, sekumpulan 300 warga teksi sekitar Lembah Klang mengugut akan mengadakan perhimpunan aman kali kedua di Padang Merbok sekiranya tidak mendapat maklum balas terhadap rintihan mereka sehingga Rabu depan.
Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang, Kamarudin Mohd Hussain himpunan itu dibuat bagi menyampaikan memorandum yang menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
LIHAT VIDEO DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan