HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 November 2015

Zahid enggan tarik balik tuduh Tian Chua dalang [TONTON VIDEO]

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi enggan menarik balik dakwaa bahawa Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menjadi 'dalang' pertemuan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dengan anak perempuan Sultan Sulu, Jacel H Kiram.

"Saya rasa beliau tidak perlu nafi. Sila jawab kepada pihak polis apabila diminta beri kenyataan. Beri kenyataan dan penafian di mahkamah jika benar tidak terlibat.

"Saya nyatakan bahawa saya tidak berhasrat untuk menarik balik sebarang kenyataan saya. Beliau kena jawab kerana hanya beliau sahaja yang tahu penglibatan majlis di Manila itu dan pertemuan Nurul Izzah (dengan Jacel) atas anjuran beliau," kata Zaid yang juga Menteri Dalam Negeri pada sidang media di Lobi Dewan Rakyat, petang tadi.

Zahid berkata demikian ketika menjawab gesaan Tian Chua hari ini supaya menarik balik dakwaan menjadi dalang pertemuan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dengan anak perempuan Sultan Sulu, Jamalul Kiram III, awal bulan ini.

Sebelum itu, Tian Chua yang juga Naib Presiden PKR menegaskan tuduhan Zahid itu sebagai tidak berasas tetapi tidak memberikan tempoh masa untuk menarik balik dakwaan berkenaan.

"Beliau harus buat penarikan dalam tempoh yang munasabah. Jangan buat seperti insiden Lahad Datu dahulu, yang saya dituduh menghina pasukan keselamatan dan dituduh sebagai pengkhianat negara.

"Namun pada hari perbicaraan, Umno menarik balik dakwaan mereka dan ketika perbicaraan yang menuduh saya atas dakwaan palsu itu akhirnya saya menang," kata Tian yang ditemui wartawan hari ini.

Tian merujuk kepada tindakan Umno yang menarik balik saman yang difailkan terhadapnya berhubung laporan insiden pencerobohan di Lahad Datu.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Ahli Parlimen Batu itu sengaja mempergunakan Nurul Izzah dengan merancang pertemuan itu.

Mengulas lebih lanjut, Tian 'menasihati' Zahid supaya mengeluarkan kenyataan yang berasas dan beserta bukti pada masa akan datang.

"Sebagaimana penjelasan Nurul Izzah, kami di Filipina atas undangan pihak pelbagai parti politik negara itu.

"Tujuan kita di sana adalah untuk membawa isu kesedaran rakyat Filipina dan di kalangan ahli-ahli politik mereka, isu hak asasi manusia dan kebebasan Anwar," ujarnya lagi.

Sebelum ini beberapa gambar Nurul Izzah dan Jacel tersebar di laman-laman sosial sehingga menimbulkan kemarahan banyak pihak, terutamanya rakyat Sabah yang masih terkesan dengan insiden pencerobohan Lahad Datu pada Februari 2013.

Selepas menerima tekanan daripada pelbagai pihak, Nurul Izzah akhirnya tampil memohon maaf pada Sabtu lalu.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: