KUALA LUMPUR: Walaupun ia mencetuskan krisis yang akhirnya membenamkan
Pakatan Rakyat, Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul mendakwa proses
penukaran Menteri Besar Selangor tahun 2014 jauh lebih ‘tertib” dengan
apa yang sedang berlaku di Kedah.
Johari berkata PKR mempunyai alasan munasabah ketika itu untuk
menukarkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Datuk Seri Mohamed Azmin
Ali sebagai Menteri Besar Selangor.
"Namun kita menukar MB secara demokratik dengan memberi alasan mengapa beliau harus undur,” katanya.
Johari bagaimanapun mengaku penyingkiran Khalid membabitkan “proses panjang dan dilakukan secara rahsia.
"Walaupun beliau kata tidak mahu berundur, kita cari inisiatif melalui
Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (Presiden PKR) dan mendapat sokongan.
Kita lakukan secara teratur dan kemukakan penuh tertib kepada Sultan
Selangor.
"Apabila kita tukar MB secara tidak tertib, ia secara tidak langsung
menukar segala-galanya, rakyat berpecah dan berlaku masalah dalam
pelbagai perkara dan ia tidak sihat," katanya di Lobi Dewan Rakyat,
tengah hari tadi.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menegur PKR apabila parti
itu pada mulanya enggan mengemukakan nama tambahan kepada istana selain
daripada Wan Azizah untuk menggantikan Khalid.
Ketika majlis angkat sumpah exco baru kerajaan negeri selepas
pelantikan Datuk Seri Azmin Ali sebagai MB baru, baginda menyifatkan
Langkah Kajang yang dicetuskan untuk menyingkir Khalid sebagai tidak
beretika.
"Kemelut dan pergolakan dalam PR (Pakatan Rakyat) ini bermula daripada
Langkah Kajang dan bermulalah usaha mereka untuk menyingkirkan Abdul
Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.
"Dengan ini timbullah pelbagai hasutan dan tohmahan untuk memburukkan
Abdul Khalid. Perkara hasut menghasut dan melempar tohmahan-tohmahan
terhadap beliau berterusan walaupun semasa bulan suci Ramadan, di
mana umat Islam sepatutnya membuat ibadah dan membuat kerja-kerja amal
yang diredhai oleh Allah untuk membersihkan dosa dan maksiat.
"Tetapi PKR tetap meneruskan agenda mereka walaupun dalam bulan
Ramadan dengan terus menghina dan mencaci sehingga mereka berjaya dalam
niat mereka untuk menjatuhkan Abdul Khalid," titah baginda ketika itu.
Penyingkiran Khalid dicemari dengan pertengkaran terbuka di antara
PKR, PAS dan DAP yang menjadi faktor penyumbang kepada Pakatan Rakyat
berpecah belah beberapa bulan kemudian.
Johari cuba mempertahankan krisis itu apabila di tanya mengenai kemelut
jawatan Menteri Besar Kedah selepas 14 daripada 15 ketua bahagian Umno
negeri itu mahu Datuk Seri Mukriz Mahathir diganti.
Mereka mendakwa prestasi Mukriz sebagai MB lembab dan bimbang Kedah
jauh semula kepada pembangkang pada pilihanraya umum yang akan datang.
Johari, yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani itu juga mendakwa krisis
pertukaran menteri besar di Kedah dilihat 'buruk' kerana ia didesak
secara terbuka.
"Proses penukaran itu tidak masuk akal…. kerana (ada) kelompok ADUN
dan personaliti yang tidak senang dengan Mukhriz yang mungkin terjadi
atas pertelingkahan Tun Mahathir Mohamed dan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.