KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
'kecewa' kerana tidak tersenarai sebagai salah seorang pembahas dalam
sidang khas pembentangan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).
"Walaupun nama saya tidak ada dalam senarai, jadi saya tidak mahu cakap panjang...," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun Shafie diberikan peluang oleh Timbalan Speaker Dewan
Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee untuk berbahas mengenai TPPA dalam
tempoh 10 minit.
Shafie, yang juga bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
ketika berbahas berpendapat perjanjian yang bakal diikat Malaysia dengan
negara besar Amerika Syarikat itu perlu memberi manfaat yang seadilnya
kepada kedua-dua belah pihak.
"Tidak bermakna saya menolak (TPPA) kerana ia akan beri kebaikan
kepada perdagangan, namun ia mesti wujud situasi menang-menang.
"Perlu ada pendekatan untuk memantapkan kesiapsiagaan, kena fikirkan
golongan peniaga, rakyat di peringkat akar umbi dan lihat pengalaman
negara-negara lain.
"Apatah lagi ia akan membabitkan pindaan terhadap 26 akta, jadi perlu
untuk kita menyelami dan mengetahui keseluruhannya, bukan hanya
kandungan perjanjian sahaja," katanya lagi.
Sebelum menandatangani TPPA pada Februari depan di New Zealand, Shafie
mengingatkan kerajaan untuk meneliti perjanjian itu sebaik mungkin agar
Malaysia memperolehi pelbagai kesan yang positif.
Apatah lagi dengan pindaan terhadap 26 akta yang berkaitan perjanjian
ini, semestinya memerlukan jaminan yang kukuh terhadap rakyat dan
negara.
"Sama ada wujud jaminan untuk pengusaha Melayu atau tidak? Kalau tidak ada, apakah jaminan dan akibatnya?
"Di dalam dasar yang kita persetujui, dahulu kita perkenalkan produk
Malaysia sebagai terbaik, jadi untuk memantapkan hak cipta terpelihara
(pattern rights) yang dalam perjanjian kita persetujui 20 tahun dahulu,
50 tahun dahulu, jadi bagaimana untuk kita kekalkannya?
"Kerana ia mungkin akan menghakis dasar-dasar yang dekat dengan jati diri dan jiwa kita," katanya lagi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh
Hamzah, turut menyatakan hal yang sama dan mahu kerajaan menangkis
segala tuduhan terhadap TPPA dengan mengadakan sesi penerangan lebih
mendalam kepada rakyat.
"Saya rasa kerajaan harus mempertimbangkan secara serius mengenai langkah menandatangani perjanjian TPPA atas semua tuduhan.
"Saya mempunyai alasan tersendiri mengapa kerajaan harus
pertimbangkan perjanjian ini, kerajaan kena adakah sesi penerangan, itu
pandangan saya," katanya.
Sidang khas Dewan Rakyat bagi membentangkan TPPA yang dijalankan
selama dua hari membolehkan kesemua ahli parlimen membahas dan mengundi
sama ada Malaysia harus menyertai TPPA.
Malaysia adalah satu daripada 12 negara pelopor dalam perundingan TPP yang bermula pada 2010.
Perundingan dimuktamadkan pada Oktober tahun lepas. Negara perunding
TPP lain ialah Brunei, Singapura, Vietnam, Jepun, Australia, New
Zealand, Amerika Syarikat, Chile, Mexico, Peru dan Kanada.
Dalam perkembangan lain, beliau menerima baik penjelasan Peguam Negara
mengenai isu derma RM2.6 bilion yang diterima Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak.
"Apa yang penting adalah yang diputuskan oleh Peguam Negara, apa yang
beliau kata dia (Datuk Seri Najib Razak) tidak bersalah," katanya.
Jelasnya kini terpulang kepada umum untuk menerima keputusan itu atau tidak.
"Ini terpulang kepada umum tetapi dari segi undang-undang itulah dia kedudukannya," jelas beliau.
Semalam, Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali memutuskan Najib tidak
bersalah berhubung isu derma RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akuan
peribadi beliau sebelum Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 pada 2013 lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.