Portal pro-Umno, Mykmu.net menyelar kritikan yang mendakwa tindakan penjualan Bandar Malaysia adalah menjual negara kepada China dan sebaliknya menuduh kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang yang sebenarnya menjual tanah kepada orang asing.
Ia berkata demikian ketika mengulas kenyataan beberapa pemimpin pembangkang termasuk dari DAP yang membidas 1MDB kerana melepaskan kepentingan 60 peratus di Bandar Malaysia yang seluas 486 ekar kepada syarikat usaha sama antara China Railway Engineering Corp dan Iskandar Waterfront Holdings (IWH).
“Pada Mei 2015, Pulau Pinang menjual 100 peratus iaitu 20 ekar tanah negeri yang bernilai RM30 juta kepada Jabil Circuit Singapore Pte Ltd - sebuah syarikat yang dimiliki oleh Amerika Syarikat.
“Dan pada Julai 2015, Pulau Pinang memberi pemilikan 49 peratus daripada 6.8 ekar projek tanah negeri Pulau Pinang yang bernilai RM11.3 bilion kepada Temasek Holding dan EDIS yang dimiliki 100 peratus kerajaan Singapura,” katanya dalam ulasan hari ini.
Mykmu berkata dalam hal 1MDB, ia dituduh menjual negara tetapi apabila kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP melakukan perkara yang sama, ia dianggap sebagai "pelaburan asing".
“Pulau Pinang kecil tapi mereka jual banyak. Nanti bila dapat kerajaan pusat, lagi banyak yang bakal terjual,” katanya.
Menurut portal pro-Umno itu syarikat dari China itu hanya akan menguasai 24 peratus daripada Bandar Malaysia manakala IWH yang berpangkalan di Johor dan 1MDB masih memiliki baki 76 peratus.
Johor memiliki 40 peratus pegangan dalam IWH melalui Kumpulan Prasarana Rakyat Johor.
Ahirudin berkata Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Iskandar tidak akan membenarkan kerajaan negeri terbabit dengan Bandar Malaysia jika tindakan itu menjual negara kepada China.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.