HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Januari 2016

KEMASKINI Shafie tak tolak tapi mahu kerajaan teliti TPPA sebelum tandatangan

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar & Azizul Osman

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal 'kecewa' kerana tidak tersenarai sebagai salah seorang pembahas dalam sidang khas pembentangan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).
 
"Walaupun nama saya tidak ada dalam senarai, jadi saya tidak mahu cakap panjang...," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
 
Bagaimanapun Shafie diberikan peluang oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee untuk berbahas mengenai TPPA dalam tempoh 10 minit.
 
Shafie, yang juga bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ketika berbahas berpendapat perjanjian yang bakal diikat Malaysia dengan negara besar Amerika Syarikat itu perlu memberi manfaat yang seadilnya kepada kedua-dua belah pihak.
 
"Tidak bermakna saya menolak (TPPA) kerana ia akan beri kebaikan kepada perdagangan, namun ia mesti wujud situasi menang-menang.
 
"Perlu ada pendekatan untuk memantapkan kesiapsiagaan, kena fikirkan golongan peniaga, rakyat di peringkat akar umbi dan lihat pengalaman negara-negara lain.
 
"Apatah lagi ia akan membabitkan pindaan terhadap 26 akta, jadi perlu untuk kita menyelami dan mengetahui keseluruhannya, bukan hanya kandungan perjanjian sahaja," katanya lagi.
 
Sebelum menandatangani TPPA pada Februari depan di New Zealand, Shafie mengingatkan kerajaan untuk meneliti perjanjian itu sebaik mungkin agar Malaysia memperolehi pelbagai kesan yang positif.
 
Apatah lagi dengan pindaan terhadap 26 akta yang berkaitan perjanjian ini, semestinya memerlukan jaminan yang kukuh terhadap rakyat dan negara.
 
"Sama ada wujud jaminan untuk pengusaha Melayu atau tidak? Kalau tidak ada, apakah jaminan dan akibatnya? 
 
"Di dalam dasar yang kita persetujui, dahulu kita perkenalkan produk Malaysia sebagai terbaik, jadi untuk memantapkan hak cipta terpelihara (pattern rights) yang dalam perjanjian kita persetujui 20 tahun dahulu, 50 tahun dahulu, jadi bagaimana untuk kita kekalkannya?
 
"Kerana ia mungkin akan menghakis dasar-dasar yang dekat dengan jati diri dan jiwa kita," katanya lagi.
 
Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, turut menyatakan hal yang sama dan mahu kerajaan menangkis segala tuduhan terhadap TPPA dengan mengadakan sesi penerangan lebih mendalam kepada rakyat.
 
"Saya rasa kerajaan harus mempertimbangkan secara serius mengenai langkah menandatangani perjanjian TPPA atas semua tuduhan. 
 
"Saya mempunyai alasan tersendiri mengapa kerajaan harus pertimbangkan perjanjian ini, kerajaan kena adakah sesi penerangan, itu pandangan saya," katanya.
 
Sidang khas Dewan Rakyat bagi membentangkan TPPA yang dijalankan selama dua hari membolehkan kesemua ahli parlimen membahas dan mengundi sama ada Malaysia harus menyertai TPPA.
 
Malaysia adalah satu daripada 12 negara pelopor dalam perundingan TPP yang bermula pada 2010.
 
Perundingan dimuktamadkan pada Oktober tahun lepas. Negara perunding TPP lain ialah Brunei, Singapura, Vietnam, Jepun, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Chile, Mexico, Peru dan Kanada.
 
Dalam perkembangan lain, beliau menerima baik penjelasan Peguam Negara mengenai isu derma RM2.6 bilion yang diterima Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
 
"Apa yang penting adalah yang diputuskan oleh Peguam Negara, apa yang beliau kata dia (Datuk Seri Najib Razak) tidak bersalah," katanya.
 
Jelasnya kini terpulang kepada umum untuk menerima keputusan itu atau tidak.
 
"Ini terpulang kepada umum tetapi dari segi undang-undang itulah dia kedudukannya," jelas beliau.
 
Semalam, Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali memutuskan Najib tidak bersalah berhubung isu derma RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akuan peribadi beliau sebelum Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 pada 2013 lalu.
 
 

Tiada ulasan: