Polis mengesan terdapat kumpulan dan individu tertentu telah melabelkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan sebagai proSyiah apabila bertindak memerangi habis-habisan kumpulan pengganas Daesh di negara ini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit
Aman Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay yang mendedah perkara itu berkata
tindakan itu bertujuan untuk menimbulkan ketegangan di negara ini.
"Apabila kita (polis) dilabel sebagai (pro)Syiah, darah
kita halal dan kita boleh dibunuh. Itu tindakan bahaya dan taktik inilah
yang digunakan olehkumpulan pengganas Daesh ...ia seolah-oleh memberi
asas kepada penyokong kumpulan pengganas Daesh di negara ini untuk
melakukan pembunuhan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri 'Seminar
Pencerahan Isu-Isu Semasa Negara' yang dirasmikan oleh Menteri Besar
Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, di Kuantan hari ini.
Selain Ayub, turut menyampaikan ceramah dalam program
berkenaan ialah Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia
Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dan Penolong Setiausaha
Kanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Zamihan Mat Zin.
Ayub berkata, tindakan pihak tertentu itu juga berkemungkinan untuk
menimbulkan kebencian terhadap polis, KDN atau provokasi untuk menganggu
usaha pihak berkuasa menentang kegiatan pengganas itu sehingga ke akar
umbi di negara ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Anuar
Othman menafikan kejadian kes tembak melibatkan tiga penjenayah yang
mencederakan seorang lelaki di hadapan sebuah bank di daerah itu malam
semalam mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh.
"Tiada kaitan langsung dengan Daesh, sebaliknya ia hanya
kegiatan samun bersenjata api yang dilakukan oleh sekumpulan
penjenayah," katanya.
Sehubungan itu beliau meminta orang ramai agar tidak panik dengan kejadian itu dan menurutnya polis sedang giat memburu suspek.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan