HALAMAN SANTAI

Isnin, 4 Januari 2016

Peguam negara pertimbang permintaan SPRM kumpul bukti derma RM2.6 bilion Najib



Peguam negara akan mempertimbangkan permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengumpul bukti bagi menyiasat derma RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadi Datuk Seri Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insider, 4 Januari, 2016. 
Peguam negara akan mempertimbangkan permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengumpul bukti bagi menyiasat derma RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadi Datuk Seri Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
Peguam negara akan mempertimbangkan permintaan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu mendapatkan dokumen dan kenyataan dari luar negara bagi menyiasat derma RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadi Datuk Seri Najib Razak, kata seorang peguam.

Ini selepas badan anti rasuah itu menyerahkan kertas siasatan berhubung SRC International dan derma RM2.6 bilion yang dipindahkan ke dalam akaun perdana menteri.

"Peguam negara akan menentukan jika permintaan itu munasabah sebelum memutuskan untuk memudahkan penyiasatan agensi itu," kata SN Nair, bekas pegawai polis yang berpengalaman merekodkan keterangan daripada saksi di luar negara dan mengumpul bukti untuk tujuan bukti.

Nair berkata, semua ini bergantung kepada apa yang SPRM cari untuk melengkapkan siasatannya. "Peguam negara hanya akan menghubungi Kementerian Luar yang kemudiannya akan menghubungi rakan mereka bagi membantu SPRM," katanya kepada The Malaysian Insider.

Nair berkata, negara luar kemudiannya akan menghubungi menteri undang-undang atau peguam negara mereka yang mempunyai kata putus sama ada mereka mahu membantu SPRM dalam siasatan itu ataupun tidak.

"Mereka boleh menolak permintaan untuk merekodkan kenyataan daripada saksi dan mempunyai akses kepada dokumen kerana melibatkan kedaulatan negara," tambah Nair.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Ketua Persuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull pada 31 Disember lalu siasatan RM2.6 bilion masih tidak lengkap.

"SPRM masih perlu menyelesaikan siasatan mengenai dokumen dan kenyataan yang melibatkan beberapa institusi kewangan di luar negara.

"Dokumen dan kenyataan hanya boleh diambil melalui bantuan undang-undang bersama (MLA) kerana ini terikat kepada undang-undang perbankan di negara yang terlibat," kata Shukri.

Shukri berkata, SPRM sudah memfailkan permohonan kepada peguam negara untuk mendapatkan MLA.

Pada hari sama, SPRM juga sudah menyerahkan kertas siasatan berhubung SRC International dan derma RM2.6 bilion kepada peguam negara. SPRM berkata, mereka berpuas hati dengan keterangan lebih 100 saksi termasuk individu yang didakwa memberi derma RM2.6 bilion kepada Najib.

"Siasatan yang melibatkan saksi di negara ini lengkap. Satu kenyataan daripada pihak yang dikatakan penderma juga sudah diambil," kata Shukri.

Beliau berkata kertas siasatan terhadap SRC International turut dibentangkan kepada sebuah panel bebas sebelum ia dikemukakan kepada peguam negara.

Lima anggota panel - bekas ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan, bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah, bekas timbalan gabenor Bank Negara Datuk Zamandi Abdul Ghani, bekas pengerusi Majlis Peguam, Lim Chee Wee, dan peguam Datuk Zuraidah Atan - adalah wakil badan bebas yang memantau kemajuan SPRM, katanya.

Najib berkata, RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun peribadinya merupakan sumbangan dan urus niaga dijalankan di luar negara. Perdana Menteri menafikan wang tersebut daripada dana awam atau dikaitkan dengan firma pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

The Wall Street Journal dalam laporan pada 2 Julai lalu mendakwa wang itu datang daripada SRC International, anak syarikat 1MDB.


Tiada ulasan: