Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali hari ini berkata beliau akan mengkaji semula beberapa seksyen di bawah Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Beliau berkata demikian kepada akhbar Sin Chew Daily selepas Majlis Raja-Raja memaklumkan akan menulis surat kepada perdana menteri menggesa kerajaan mengkaji semula rang undang-undang yang menurut pengkritik boleh membawa kepada pemerintahan diktator.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata, beliau "mengambil maklum" desakan Raja-Raja Melayu untuk semakan rang undang-undang nerkenaan.
Bercakap kepada Malaysiakini, peguam Syahredzan Johan berkata sebarang pindaan kepada rang undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen pada 22 Disember lalu perlu dibentangkan semula.
Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa rang undang-undang itu perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong dan bukannya Majlis Raja-Raja.
Rang undang-undang itu secara automatik boleh diwartakan sebagai undang-undang 30 hari selepas ia dikemukakan walaupun Seri Paduka tidak memberi perkenan baginda.
Antara lain, rang undang-undang MKN membolehkan pengerusinya yang juga adalah perdana menteri untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai zon keselamatan dan mengenakan pemerintahan darurat.
Najib sebelum ini mempertahankan MKN sebagai tindakan yang amat diperlukan untuk menghadapi ancaman keganasan yang didakwa semakin meningkat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.