Halaman

Sabtu, 20 Februari 2016

PRN Sarawak: DAP, PKR dan PAN setuju beri laluan kepada PAS

 Oleh Azizul Osman

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tiga parti komponen Pakatan Harapan (PH) bersetuju memberi laluan kepada PAS untuk turut sama bertanding di beberapa kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, yang dijangka diadakan April depan.
 
Keputusan itu adalah untuk memastikan pertandingan dua penjuru di antara Barisan Nasional (BN) dan pembangkang di 82 kerusi DUN pada pilihan raya itu.
 
Bagaimanapun Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah memberitahu jumlah kerusi serta kawasan DUN manakah yang akan dikosongkan untuk PAS belum dimuktamadkan.
 
PAS sebelum ini dilaporkan mahu meletakkan calonnya di 11 kerusi DUN Sarawak pada pilihan raya kali ini.
 
"Kami berseida untuk membenarkan PAS bertanding di kerusi-kerusi berkenaan. Kami hormati bahawa PAS pun akan meletakkan calon. Kita (PH) boleh agak kerusi mana yang PAS nak bertanding dan kami sudah pertimbangkan, dan kami serahkan kepada PH Sarawak untuk buat perbincangan (dengan PAS).
 
"Kami ambil maklum bahawa PAS akan bertanding (di 11 kerusi) jadi perbincangan perlu dibuat di Sarawak. Kesemua 82 kerusi di Sarawak perlu ditandingi dan kami akan pertimbangkan kesemua kerusi berkenaan memandangkan PAS juga akan bertanding," katanya pada sidang media selepas selesai mempengerusikan mesyuarat PH, petang tadi.
 
Saifuddin bagaimanapun tidak ditemani sesiapa ketika sidang media itu meskipun mesyuarat melibatkan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) diwakili pemimpin kanan masing-masing.
 
PKR diwakili tiga naib presidennya, Nurul Izzah Anwar, Tian Chua dan Dr. Xavier Jayakumar.
 
Manakala DAP diwakili Ketua Publisitinya Tony Pua dan Naib Pengerusinya Teresa Kok.
 
Sementara PAN diwakili Naib Presidennya, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa dan Pengarah Komunikasi PAN Khalid Samad.
 
Sebelum ini, PAS dan PAN saling berbalas kenyataan berhubung pendirian parti masing-masing yang akan bertanding di kerusi tertentu pada PRN Sarawak.
 
Begitu juga DAP dan PKR yang dilaporkan media turut berebut kerusi DUN tertentu meskipun pimpinan tertinggi masing-masing berkata pembahagian kerusi masih dalam perbincangan.
 
Namun Saifuddin berkata tiga parti komponen PH sedar mereka perlu sepakat dan berusaha untuk mengelakkan berlakunya pertandingan tiga penjuru yang mana hanya akan memecahkan undi dan mengurangkan potensi untuk mereka menumbangkan BN dalam pilihan raya itu.
 
"Sebahagian daripada kerusi berkenaan telah dapat diselesaikan pada hari ini. Prinsip yang dipegang ialah untuk mengelakkan mana parti dalam PH bertanding sesama sendiri ini untuk membolehkan pertandingan itu ialah satu lawan satu antara PH dan Barisan Nasional (BN), itu pegangannya.
 
"Kami mempunyai sepenuhnya kepercayaan terhadap kepimpinan PH Sarawak akan berjaya menyelesaikan pembahagian baki kerusi yang akan disambung," katanya lagi.
 
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satim bulan lalu mengumumkan bahawa negeri berkenaan sudah bersedia untuk mengadakan PRN buat kali ke-11.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.