HALAMAN SANTAI

Sabtu, 5 Mac 2016

DEKLARASI RAKYAT PERMULAAN GERAKAN MASSA UNTUK SELAMATKAN MALAYSIA

shahbudincotcom


 
 
Deklarasi rakyat yang digerakkan oleh Tun Mahathir Mohamad bersama pemimpin politik dan masyarakat sivil semalam, jika dibaca sampai sehingga ke penghujungnya, adalah bermatlamatkan empat perkara iaitu:-

- penyingkiran Najib Razak sebagai Perdana Menteri menerusi saluran yang aman dan mengikut undang-undang yang dibenarkan,

- penyingkiran semua mereka yang bersekongkol dengannya,

- pemansuhan semua undang-undang dan perjanjian baru yang jelas melanggar hak asasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan melemahkan polisi terpilih, dan

- pemulihan intergriti institusi yang dilemahkan seperti polis, SPRM, Bank Negara dan PAC.

Oleh itu, reaksi pemimpin UMNO khususnya jurucakap Putrajaya dan juga Zahid Hamidi yang cuba mengingatkan Tun Mahathir bahawa pertukaran Perdana Menteri hanya boleh dibuat melalui pilihanraya dan sistem perundangan yang demokrasi, nyata tersasar sama sekali.

Bukankah sudah disebut bahawa penyingkiran itu akan dilakukan menerusi saluran yang aman dan mengikut undang-undang yang dibenarkan, bukan saja melibatkan Najib, malah semua mereka yang bersekongkol dengannya?

Tidakkah ia menunjukkan perubahan total yang ingin dimatlamatkan ialah selepas pilihanraya nanti?

Kenapa ramai yang begitu risau seolah-olah Najib akan disingkirkan esok hari? Kalau pun Najib berjaya diundurkan lebih awal, ia mungkin bonus semata-mata.

Dengan ini, jelas deklarasi rakyat itu adalah permulaan untuk menggerakkan massa bagi menyelamatkan negara. Sesiapa juga yang waras, yang sayangkan negara dan ingin melihat anak cucu lebih terbela di masa depan serta tidak terkhayal dengan dedak yang tersisa, pasti bersetuju dengan keempat-empat tuntutan itu sebagai asas utama pemulihan negara kita.

Tun Mahathir, di penghujung usianya, di sebalik dikecam dan dihina kerana gerakan yang dilakukannya ini, terbukti ingin menyelamatkan negara dalam konteks jangka panjang dan selama-lamanya, bukan semata-mata menyingkirkan batang tubuh Najib saja.

Yang menariknya, jika ketika Tun Mahathir mengumumkan keluar UMNO pada 29 Februari lalu, ramai pengampu dan pembodek Najib mengatakan ia tidak memberi kesan apa-apa, tetapi hanya dengan gerakan pertamanya melalui deklarasi rakyat itu, sudah ramai yang kelihatan bimbang dan mulai gundah gulana.

Oleh kerana bukan lagi merupakan ahli UMNO, keutamaan Tun Mahathir selepas ini ialah semata-mata untuk rakyat dan negara. 

Kiranya selama ini kita mengkagumi jasa dan sumbangannya untuk negara, tiada sebab untuk kita meragui jika beliau sekali lagi cuba melakukan perkara yang sama untuk Malaysia ini.


Tiada ulasan: