SHAH ALAM: PAS menuntut pembubaran segera parlimen bagi membolehkan
pilihan raya umum diadakan sebagai jalan terbaik untuk menukar
kepimpinan kerajaan pusat sekarang.
Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad dalam kenyataannya hari
ini berkata, kerajaan baru yang akan dibentuk selepasnya akan dapat
memulihkan imej negara yang terpalit dengan pelbagai skandal seperti
1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC dan sebagainya.
"Apabila berhadapan dengan keadaan seperti hari ini mana-mana kerajaan
yang bermaruah akan memanggil pilihan raya untuk membuktikan mereka
masih mendapat sokongan rakyat.
"Tetapi adakah pentadbiran Umno-Barisan Nasional sekarang adalah satu kerajaan yang bermaruah?," katanya.
Berbeza pendekatan dengan Pakatan Harapan yang menyokong sebarang usaha
ke arah penyingkiran Datuk Seri Mohd Najib Razak, PAS sebaliknya
konsisten dengan pendiriannya untuk menukar perdana menteri melalui cara
yang berdemokrasi dan berperlembagaan.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini menegaskan untuk
tidak mahu hadir dalam himpunan mendesak peletakan jawatan Najib yang
dijangka diadakan hujung bulan ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan semalam juga mengesahkan
untuk tidak turut serta dalam majlis menandatangani deklarasi menuntut
penyingkiran Najib yang dijangka diadakan hari ini di Kuala Lumpur.
PAS ujarnya mempunyai pendekatan dan gerakan tersendiri melalui Blok
Politik Ketiga ke arah mengubah kepimpinan negara melalui saluran yang
demokrasi dan berperlembagaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan