Gambar hiasan.
KANGAR - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis mengambil langkah berwaspada berikutan cuaca panas yang dilaporkan antara punca kemunculan banyak ular khususnya di kawasan sekolah sehingga mencederakan murid.
Pengarah JPN Izmi Ismail berkata walaupun tiada kes pelajar dipatuk ular dilaporkan di Perlis setakat ini, pihaknya memandang serius perkara itu dengan mengeluarkan notis peringatan segera kepada semua 104 sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri.
"Sudah tentu pihak JPN terutama sekolah berasa risau dengan situasi yang berlaku kerana melibatkan aspek keselamatan nyawa beribu pelajar, tambahan pula Perlis merupakan antara negeri yang panas dan berbahang serta banyak pokok.
"Melalui notis itu juga pelajar dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika melalui kawasan berisiko seperti semak samun termasuk kawasan yang banyak pokok rendang serta tanamam yang merimbun," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata demikian semasa mengulas berkaitan beberapa kejadian pelajar dipatuk ular seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.
Pelajar juga diingatkan supaya segera memberitahu guru mereka jika terlihat binatang berbisa itu selain langkah-langkah keselamatan seperti mewajibkan meletakkan belerang di kawasan berisiko seperti tandas, stor gelap dan tempat lembab, katanya.
Menurut Pengarah Operasi Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) Perlis Kapten (PA) Mohd Ruhaizul Md Isa@Mansor sebanyak 338 kes tangkapan ular dilakukan sejak Januari hingga April ini di seluruh negeri.
"Setakat ini cuma ada empat kes membabitkan ular masuk di kawasan sekolah dan telah ditangkap oleh JPAM selebihnya di kawasan perumahan dan di tempat kerja dan ladang tanaman penduduk.
"Kebanyakkan ular yang ditangkap adalah dari jenis sawa, tedung dan senduk," katanya kepada Bernama hari ini.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, Mohd Firdaus Yusof memaklumkan sebanyak 26 kes melibatkan tangkapan ular telah dikendalikan bomba pada tempoh sama.
Menurut rekod kedua-dua jabatan berkenaan, tiada kes kecederaan orang awam akibat dipatuk ular dilaporkan di Perlis sehingga kini.
Mengikut rekod dimaklumkan Kementerian Kesihatan, sebanyak 730 kes mangsa dipatuk ular dengan satu kematian dilaporkan di seluruh negara dari Januari lepas sehingga April.
Jumlah tertinggi kes patukan ular direkodkan di Kedah iaitu 195 kes diikuti Perak (107 kes) dan Selangor (78 kes) manakala satu kematian berlaku di Kelantan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan