KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh
Said Keruak menyifatkan tuduhan media antarabangsa, Wall Street Journal
(WSJ), terhadap Perdana Menteri sehingga kini hanya berlandaskan khabar
angin dan bermotifkan kepentingan politik.
Tegas beliau, jika semua berita yang dipaparkan WSJ selama ini
diperoleh daripada sumber sahih, akhbar berkenaan perlu mendedahkannya
supaya rakyat di negara ini boleh membuat penilaian.
"Bagaimanapun, sehingga kini tiada satu pun sumber dinamakan dalam
beritanya untuk menyokong semua tuduhan yang dilemparkan WSJ.
"Kita sedar situasi ini akan berpanjangan kerana WSJ sebenarnya tidak
mempunyai nama sumber berkenaan, sebaliknya semua berita sekadar dihiasi
tajuk sensasi dan bermotifkan politik," katanya kenyataan yang dimuat
naik dalam blog rasminya, sskeruak.blogspot.com, tengah malam tadi.
Semalam, WSJ mendakwa ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low,
menjadi orang tengah dalam pelaburan dana 1Malaysia Development Berhad
(1MDB), manakala Datuk Seri Najib Razak dikatakan menjadi pelaksana
pelan.
Akhbar berkenaan turut mendakwa maklumat pasukan penyiasat dari dua
negara mendapati Jho Low adalah antara penerima dana 1MDB yang mencecah
hampir ratusan juta dolar Amerika Syarikat.
Salleh menyifatkan tindakan WSJ mengemukakan tuduhan palsu, kononnya
berdasarkan sumber untuk mengaburi pandangan orang ramai sebagai
pengecut dan muslihat bagi mengelak tidak disaman.
Katanya, WSJ berterusan melemparkan pelbagai tuduhan tanpa bukti kukuh
walaupun dakwaan dibuat sumber akhbar berkenaan selama ini terbukti
salah, termasuk laporan palsu mengenai Gabenor baharu Bank Negara
Malaysia (BNM).
"Semua laporan WSJ mengenai Malaysia sejak Tun Dr Mahathir Mohamad
memulakan `Kempen Anti-Najib' hanya berpandukan sumber enggan dikenali
dan kata-kata pasukan penyiasat.
"Jika benar semua sumber ini wujud, kenapa WSJ tidak pernah beritahu
kepada rakyat Malaysia siapa mereka? Kalau berterusan begini, bagaimana
nak yakinkan semua orang apa yang dilaporkan selama ini boleh
dipercayai?" katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan